Malaysia Dateline

Tuduhan terima “bayaran bulanan” tidak berasas, kata MB Selangor

“Saya menafikan dakwaan ini yang tidak mempunyai asas sama sekali.”

Demikian tegas Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari menafikan tuduhan mengaitkannya menerima “bayaran bulanan” daripada sindiket judi haram yang didakwa beroperasi di negeri itu.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut,” kata Amirudin dalam satu kenyataan yang dikongsi oleh Pusat Informasi Negeri Selangor (PINS) di Twitter semalam.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan Majlis Pimpinan PKR Negeri Selangor itu turut menyifatkan tuduhan dibuat pemilik akaun Twitter @edisi_siasatmy itu sebagai tidak berasas.

Amirudin menjawab tuduhan pemilik akaun itu yang mendakwa beliau menerima bayaran sebanyak RM150,000 sebulan daripada sindiket judi haram di mana wang itu digunakan untuk membiayai kegiatan politik.

Ekoran penafian Adun Sungai Tua itu, PINS berkata pihaknya menunggu penafian serupa daripada pihak lain yang nama mereka dinamakan oleh akaun Twitter tersebut.

Selain Amirudin, pemilik akaun Twitter itu turut mendakwa terdapat pegawai kanan polis, pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT) melindungi penjenayah dan sindiket judi haram.