Tugas utama PH kini mendengar keluhan rakyat, kata Anwar

Anwar Ibrahim berucap di SP Arena Seberang Jaya semalam.

Walaupun hujan turun sejak awal petang dengan begitu lebat sekali sehinggalah ketibaan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Permatang Pauh, ia tidak sedikit pun melunturkan semangat ribuan penduduk yang membanjiri SP Arena, Seberang Jaya.

Pengumuman kehadiran Anwar disambut dengan laungan reformasi berkali kali sehinggakan keadaan menjadi semakin gamat apabila susuk badan beliau yang berkain pelikat, berbaju Melayu dan bercapal menjejak kaki masuk ke dalam dewan yang begitu besar.

Keadaan mulai tidak terkawal apabila semakin ramai yang mulai memenuhi ruang dewan sehinggakan ramai yang terpaksa duduk beralaskan lantai sehingga ke hadapan pentas.

Sebelum kehadiran Anwar beberapa pimpinan negeri Pulau Pinang, iaitu Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Ahmad Zakiyuddin dan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu mengambil tempat mengisi pentas pidato.

Sebaik sahaja Anwar mulai menapakkan kakinya menaiki pentas, laungan reformasi sekali lagi bergema berkali-kali memenuhi ruangan dewan dengan kibaran bendera PKR.

Dalam pidatonya Anwar mengingatkan semua Adun maupun Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) yang memenangi pilihan raya umum (PRU) baru-baru ini mulai melaksanakan tugas sebagai wakil kepada rakyat.

Malah katanya, semua wakil rakyat PH akan dipantau oleh rakyat yang telah memberi mandat sehingga berjaya menumbangkan Umno dan Barisan Nasional (BN) buat kali pertamanya dalam sejarah demokrasi negara.

“Wakil rakyat PH harus menjadi contoh yang terbaik kepada rakyat dengan tidak mengamalkan amalan yang pernah dilakukan pimpinan Umno-BN sehingga menyebabkan mereka tumpas di tangan rakyat.

Sebahagian orang ramai yang hadir dalam program kunjungan Anwar di SP Arena Seberang Jaya semalam.

“Sudah menjadi tanggungjawab semua yang menang dalam PRU kali ini untuk mendengar suara dan keluhan rakyat.

“Dalam PH bukan tempat untuk mendapat pangkat dan kedudukan maupun jawatan, sebaliknya menjadikan ia sebagai platform untuk membela nasib rakyat,” ujarnya sambil mendapat tepukan gemuruh para hadirin.

Tegas Anwar lagi, sikap angkuh, sombong, tidak peduli kepada suara rakyat tidak harus ada pada semua wakil rakyat yang telah diberi kepercayaan oleh rakyat.

Oleh kerana itu tambahnya, mulai sekarang tugas utama PH ialah mendengar suara dan keluhan mereka agar nasib mereka terus diberi pembelaan.

Pada akhir program sambutan tersebut para hadirin turut diberikan hadiah durian yang memenuhi lori satu tan oleh seorang penyokong PKR.

6.7
OVERALL SCORE
2 user votes x 10.0
CATEGORIES