Malaysia Dateline

Tuhan sahaja yang tahu perasaan saya! kata veteran demonstrasi selepas Rosmah disahkan bersalah

Nashita Md Noor, satu nama besar untuk mereka yang turun ke jalan raya bagi membantah apa yang disifatkan sebagai kezaliman kerajaan Barisan Nasional (BN) terhadap rakyat marhaen.

(GAMBAR ATAS: Nashita (kanan) dan anaknya Asiah turun berdemo mendesak Najib undur. Veteran demonstrasi ini menyertai hampir kesemua perhimpunan membantah kebejatan kerajaan BN)

Sebut saja demonstrasi apa, bermula dari zaman Reformasi 1998, Bersih bahkan membantah ISA, ada lah beliau dan anak perempuannya turun menyertai pelbagai jenis perhimpunan itu.

Dan keputusan Mahkamah Tinggi hari ini yang memutuskan Datin Seri Rosmah Mansor didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta adalah saat yang beliau nantikan.

“Kegembiraan yang lebih lagi hambik kau!!!! Argggggghhhh lega!!!” luah Nashita di facebook beliau selepas Rosmah dijatuhkan hukuman bersalah.

Bagi menggambarkan perasaan beliau juga, Nashita menyiarkan satu video dalam facebook beliau.

<a href=httpswwwfacebookcomnashitanoorvideos643788273634045><strong>Klik untuk melihat video ini<strong><a>

Bagi beliau, jika Pakatan Harapan tidak diberi peluang memerintah oleh rakyat yang bersusah payah keluar mengundi dan memberi kemenangan, tidaklah bermula semua pembongkaran salah guna kuasa di mahkamah hari ini.

“Masa melawan isu ISA ada yang kata macam mentimun kena gelek dengan durian. Macam anjing menyalak bukit. Maksudnya susahnya macam mustahil melawan akta yang digunakan oleh kerajaan yang zalim untuk sekat rakyat,” cerita beliau kepada Malaysia Dateline tentang apa yang beliau rasai di hari Rosmah dijatuhkan hukuman bersalah oleh Mahkamah Tinggi.

Bukan sedikit pengorbanan yang terpaksa beliau dan keluarga hadapi ketika melawan segala kebejatan ini.

“Masa melawan turun berdemo, saya kena tangkap, kena lokap, masuk penjara, hilang pendapatan dan hidup susah.

“Kami lawan juga walau ada rasa mustahil kita rakyat yang melawan nak menjatuhkan satu kerajaan Umno Barisan Nasional yang zalim yang dah itu saja yang perintah Malaysia selama ini.

“Kita tetap lawan walau rasa mustahil sangat nak menang sebab mereka pegang semua kuasa guna semua jentera. Guna wang rakyat. Sukar nak beri rakyat faham betapa banyak dan begitu mudah pemimpin yang ada nak ambil hak rakyat.

“Kini dah terbukti semuanya,” cerita Nashita, veteran demonstrasi bagi membantah segala kemungkaran yang berlaku yang terbukti di mahkamah.

Ketika ditanya, apakah perasaan beliau selepas Rosmah dihukum oleh Mahkamah Tinggi hari, Nashita berkata, “Rasa?? Tuhan sahaja yang tahu,” kata beliau ringkas.

Bagi beliau, semuanya berlaku hasil dari susah payah rakyat yang tinggal di seluruh dunia dalam menjalan tugas mereka sebagai warganegara.

“Satunya saya tak akan lupa semangat rakyat susah payah dari merata ceruk dunia, bukan sekadar yang menetap di tanah air untuk keluar mengundi.

“Jelas semua rakyat ada hak. Kita semua berhak untuk gembira.

“Namun tidak boleh terus berpuas hati sebab masih banyak lagi yang belum kena,” kata beliau sambil mengucapkan “Tahniah untuk sistem kehakiman.”

Hari ini, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas setiap pertuduhan yang dikenakan ke atas Rosmah dan menjadikannya 30 tahun.

Namun Hakim memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak menjadikan ia akan berjalan selama 10 tahun sahaja.

Rosmah didapati bersalah meminta rasuah RM187.5 juta dan menerima suapan RM6.5 juta membabitkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan berkata pembelaan tidak berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap semua tiga tuduhan.

Rosmah didakwa meminta dan menerima suapan daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holding iaitu Saidi Abang Samsudin.

Rasuah itu diterima melalui bekas pegawai khas suaminya Datuk Seri Najib Razak, iaitu Datuk Rizal Mansor sebagai ganjaran kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.