Malaysia Dateline

‘Tuhan u gagal sembuhkan Adib’ seorang wanita digantung tugas

Syarikat pengedar kereta Honda, Sri Utama Auto Sdn. Bhd. (Honda Sri Utama Auto) telah menggantung tugas seorang kakitangannya bernama Caryn Yean, atas dakwaan mengeluarkan kenyataannya seolah-olah mempertikaikan tuhan kerana tidak menyelamatkan nyawa anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim.

Menurut Pengarah Honda Sri Utama Auto, Wong Chee Keong, penggantungan Yean dilakukan supaya siasatan dalaman boleh dijalankan dan syarikat sedia mengambil tindakan tegas terhadap apa yang telah berlaku.

“Kami secara ikhlas memohon maaf atas komen yang tidak sensitif dibuat oleh kakitangan kami (Yean) mengenai berita sedih kematian Muhammad Adib.

“Kami tidak akan bertolak-ansur atau bertoleransi terhadap sikap sedemikan sama ada ia dilakukan dalam talian atau bukan,” menurutnya dalam kenyataan yang disiarkan menerusi laman Facebook syarikat itu hari ini seperti dipetik Utusanonline.

Menurut tangkap layar yang tular dalam media sosial, Yean didapati memuat naik komen ‘Bukan kerajaan gagal..tuhan u (awak) yang gagal tidak sembuhkan Adib’ ketika siaran langsung Facebook sidang akhbar Menteri Perumah Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin malam tadi selepas kematian Muhammad Adib.

Komen Yean itu menerima cemuhan ramai pihak yang kemudian mendapati dia bekerja dengan Honda Sri Utama, sekali gus menyebabkan laman Facebook syarikatnya ‘diserang’ oleh warganet.