Malaysia Dateline

Tujuan Umno menang PRU hanya untuk selamatkan pimpinan mereka dari dicaj

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, perjuangan Umno apabila menang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti hanyalah untuk menyelamatkan pemimpin mereka dari dipenjara atau dicaj atas kesalahan jenayah rasuah.

Katanya, tumpuan Umno adalah untuk mendapatkan pengampunan bagi Najib dan menggugur kesnya yang sedang dibicara.

Dengan itu, kes-kes lain terhadap pemimpin BN-Umno termasuk Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga akan mengikut jejak sama dan digugurkan.

“Mengikut kenyataan Presiden Umno, perjuangan BN-Umno hanya untuk selamatkan pemimpin mereka dari dipenjara atau dicaj kerana mereka sudah melaku jenayah.

“Inilah harapan Umno jika menang. Dengan itu ketua kleptokrat boleh pun menjawat jawatan PM,” katanya dalam satu hantaran terbaru di Facebook.

Selain itu Mahathir berkata, banyak juga yang tidak disebutkan oleh Zahid berkenaan pemulihan ekonomi dan penghapusan rasuah.

Mereka juga didakwa tidak mengutamaman tentang isu rakyat seperti pertambahan peluang kerja, bantuan kepada rakyat miskin, mengatasi masalah orang Melayu dan kaum lain.

Dalam pada itu, beliau berkata, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) serta ahli-ahli dari partinya tidak terlibat dengan jenayah.

Justeru, usaha akan dibuat bagi meringankan masalah yang dihadapi oleh rakyat.

“Pejuang tidak bertanding kerana menyelamat diri atau untuk dapat duit,” katanya lagi.

Baca juga: Hutang kereta punca ramai anak muda muflis

Baca juga: Murid tahun dua pun dah kena jawab soalan KBAT tentang pekerjaan, ‘ini silibus syok sendiri’