Malaysia Dateline

Tujuh Bahagian di Sarawak dikenal pasti ‘Titik Panas’ Covid-19

Tujuh Bahagian di Sarawak adalah dikenal pasti sebagai ‘Titik Panas’ Covid-19 di negeri ini.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, kawasan titik panas berkenaan ialah Kuching, Serian, Betong, Sarikei, Bintulu, Miri dan Limbang.

Justeru, katanya, beliau meminta kerjasama daripada rakyat di negeri ini untuk mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telahpun berkuatkuasa pada 18 Mac lalu sehingga 31 Mac ini.

“Saya ingin merayu kepada orang ramai untuk mematuhi sepenuhnya PKP yang dikuatkuasakan kini.

“Kerjasama awam adalah penting jika tidak, jangkitan akan berada di luar kawalan dan orang ramai perlu mengikut nasihat pihak berkuasa iaitu hanya tinggal di rumah,” kata beliau dalam sidang media di Kuching hari ini.

Menurut Abang Johari, keadaan dan keseriusan masalah ini tidak boleh dipandang remeh yang mana PKP adalah satu kaedah untuk meratakan lekuk jangkitan virus sekali gus akan membebankan masyarakat, negeri dan sumber negara di samping menjejaskan kesihatan dan keselamatan setiap individu, jika tidak diperiksa.

Selain itu, jelas beliau, kerajaan negeri telah mengadakan perbincangan Pusat Perubatan Borneo (BMC), Pusat Perubatan Timberland, KPJ dan Pusat Pakar Perubatan Normah bagi meningkatkan keupayaan dalam menangani situasi terkini.

Tegasnya lagi, Sarawak juga sedang menyenaraikan penglibatan tentera dengan segera untuk menguatkuasakan PKP di pos sempadan dan kawasan luar bandar.

“Semua pintu masuk di sempadan akan ditutup dengan segera. Hanya CIQ antara Sarawak dan Brunei iaitu Sungai Tujuh, Tedungan, Pandaruan dan Mengkalap akan dibuka dari pukul 6.00 pagi hingga 8.00 malam.

“Manakala, semua CIQ antara Sarawak dan Kalimantan iaitu Tebedu, Biawak dan Lubok Antu akan dibuka antara 9.00 pagi hingga 3.00 petang.

“Ini adalah selaras dengan waktu pembukaan yang dipersetujui oleh Brunei dan Indonesia,” tambahnya.

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak menyebarkan berita yang tidak disahkan dan palsu.

“Pelaku adalah tertakluk kepada hukuman tegas mengikut undang-undang yang ada,” ujar beliau lagi.