Malaysia Dateline

Tujuh dari 11 kluster baharu tempat kerja libatkan pekerja kilang

Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan 17 kluster baharu hari ini, dengan 11 daripadanya membabitkan tempat kerja, lima dalam kalangan komuniti dan satu kumpulan berisiko tinggi.

Daripada 11 kluster tempat kerja, tujuh daripadanya membabitkan jangkitan pada pekerja kilang manakala dua kluster melibatkan pekerja-pekerja syarikat perlombongan masing-masing di Sabah dan Sarawak.

Sementara itu, satu kluster tempat kerja melibatkan kakitangan sebuah institusi awam di Jalan Gambang, Kuantan dan satu lagi kluster berkaitan pekerja sebuah stesen minyak di Jalan Pasir Pekan, Pasir Mas, Kelantan.

Bagi tujuh kluster tempat kerja membabitkan kilang, empat daripadanya dikesan di Johor manakala satu kluster masing-masing di Pahang, Selangor dan Pulau Pinang.

Jumlah kes paling banyak dikesan setakat ini ialah Kluster Industri Parit Jamil Johor di Muar dengan 127 kes, menurut Kementerian Kesihatan (KKM).

Kluster tersebut dikenalpasti hasil saringan bersasar melibatkan pekerja-pekerja sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Parit Jamil di Parit Jawa, Muar.

Dalam masa sama, Kluster Industri Bypass Gebeng di Kuantan merekodkan jumlah saringan tertinggi mencecah 1,248 individu.

Kes indeks bagi kluster tersebut melibatkan lelaki warganegara berusia 34 tahun yang dilapor positif Covid-19 pada 2 Julai lalu hasil saringan individu bergejala.

Seramai 52 individu dijangkiti pandemik yang membabitkan pekerja sebuah kilang di Taman Perindustrian Malaysia China Kuantan (MCKIP) Gebeng itu.