Tujuh individu beri keterangan bawa balik abu mayat Chin Peng

Tujuh individu beri keterangan bawa balik abu mayat Chin Peng

Lima lagi individu telah memberi keterangan berhubung isu membawa pulang abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng ke negara ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, ini menjadikan kesemua tujuh individu telah memberi keterangan sejak Jumaat lepas dan siasatan berhubung kes berkenaan dijalankan pihak Bukit Aman.

“Tujuh individu telah dirakam percakapan dan pihak Bukit Aman telah melawat tempat yang ada (abu).

“Mereka ini adalah saksi-saksi yang terlibat menerima abu mayat, meletakkan (abu mayat) di tempat-tempat di kaki banjaran titiwangsa,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Manjung di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung di sini, hari ini.

ACP Nor Omar Sappi, 44, yang sebelum ini bertugas sebagai Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Selangor menggantikan ACP Muhamad Hanif Othman yang ditukarkan ke Kontinjen Pahang.

Turut diadakan majlis serah terima tugas jawatan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Manjung antara Dr. Azura Abdullah Effendi dengan ACP Siti Dalila Mohd. Yasin dengan disaksikan Pengerusi Perkep negeri, Datin Zainah Othman.

Terdahulu, turut diadakan majlis penyerahan kenderaan pasukan iaitu 16 buah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux bagi kegunaan ketua polis balai di seluruh negeri Perak menggantikan Perodua Kancil yang telah digunakan sejak tahun 1998.

Razarudin berkata, 103 kenderaan Perodua Kancil telah mula digunakan sejak 21 tahun lepas dan kini hanya 40 buah yang masih digunakan.

“Penggantian kenderaan ini melibatkan sembilan daerah merangkumi 16 buah balai polis yang akan digantikan secara berperingkat.

“Saya berharap dengan dibekalkan kenderaan ini ketua polis balai dapat memantau pergerakan dan kerja dengan efisien sekaligus mengurangkan kadar jenayah di kawasan,” katanya.

— BERNAMA