Kelantan menyaksikan jumlah kes penceraian ketiga tertinggi sepanjang tiga bulan pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Bagi tempoh 18 Mac hingga 18 Jun lalu yang memasuki Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), Kelantan mencatatkan 659 kes selepas Selangor (1,252) dan Kedah dengan 697 kes.
Ini bermakna secara purata dalam tempoh sebulan berlaku 220 kes cerai di Kelantan iaitu tujuh kes cerai setiap hari sepanjang PKP.
Data tersebut dipetik dari Utusan Malaysia hari ini menerusi pendedahan Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah, Datuk Dr. Mohd. Naim Mokhtar dengan jumlah keseluruhan kes cerai di seluruh negara dalam tempoh sama sebanyak 6,569 kes.
Dr. Mohd. Naim mengakui terkejut apabila mahkamah syariah di seluruh negara yang beroperasi semula pada 10 Jun lalu mencatatkan jumlah kehadiran agak luar biasa pasangan yang memfailkan kes penceraian.
“Paling banyak kes yang diterima mahkamah syariah di seluruh negara pada hari berkenaan (10 Jun) adalah suami melafazkan cerai di rumah dalam tempoh PKP.
“Mereka hadir ke mahkamah pada hari itu untuk mengesahkan lafaz cerai yang telah dibuat,” katanya.
Beliau turut mengesahkan menerima maklum balas daripada 42 Hakim Mahkamah Rendah Syariah di seluruh negara mengenai kes yang difailkan di mahkamah masing-masing.