Tujuh lagi Adun Perlis nyata  pendirian junjung titah Raja Perlis

Tujuh lagi Adun Perlis nyata pendirian junjung titah Raja Perlis

Tujuh lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) yang tidak menghadiri Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Menandatangani Watikah Pelantikan Menteri Besar di Istana Arau dekat sini pada 24 Mei lalu, menyatakan pendirian menjunjung titah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Perkara itu dimaklumkan Adun Santan, Azizan Sulaiman yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Padang Besar yang mewakili mereka kerana kesemuanya telah bersepakat untuk menjunjung titah baginda.

Sebelum ini, dua Adun BN telah menyatakan pendirian masing-masing untuk menjunjung titah baginda dalam kemelut pelantikan Menteri Besar iaitu Adun Kayang, Hamizan Hassan pada kelmarin dan Adun Beseri, Ruzaini Rais, semalam.

Azizan menjelaskan, beliau yang mewakili wakil-wakil rakyat itu tidak berniat menderhaka terhadap Tuanku Syed Sirajuddin.

Kata beliau, namun situasi yang berlaku secara di luar kawalan iaitu perjumpaan bersama pucuk pimpinan parti di ibu negara pada tarikh dan waktu yang sama, telah menyebabkan mereka tidak dapat menghadiri majlis pelantikan Menteri Besar.

“Kami bersepakat berada di ibu negara untuk menghadiri satu perjumpaan parti bersama Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim dengan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (Naib Presiden Umno yang menjalankan tugas-tugas Presiden parti),” katanya seperti dilapor Utusanonline hari ini.

Berhubung pelantikan Datuk Seri Azlan Man sebagai Menteri Besar, Azizan walau bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana tidak mahu isu tersebut dipanjangkan lagi.

Mengenai perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, kesemua wakil rakyat terbabit akan memohon sembah menghadap Tuanku Syed Sirajuddin dalam masa terdekat untuk menjernihkan suasana dan hubungan baik antara Adun BN dan pihak istana.

“Insya-Allah perkara ini (kemelut pelantikan Menteri Besar) akan dapat diselesaikan segera secara harmoni,” katanya.

Beliau berkata, kesemua Adun BN tersebut telah pun kembali berada di negeri ini sejak empat hingga lima hari lalu untuk menjalankan tugas-tugas sebagai wakil rakyat.

Azizan turut menjelaskan dakwaan bahawa kesemua wakil rakyat BN itu telah menghilangkan diri ke Mekah untuk menunaikan umrah adalah tidak benar.

“Sebenarnya perancangan ini (menunaikan umrah) dibuat sebelum berlangsungnya Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sekiranya BN mengekalkan kemenangan di Perlis. Namun atas situasi yang berlaku, perkara itu tidak dilaksanakan,” katanya.

Isu pelantikan Menteri Besar mendapat perhatian meluas media-media massa kerana semasa pelantikan Azlan yang diperkenankan Tuanku Syed Sirajuddin untuk memegang jawatan itu, kesemua sembilan Adun BN tidak menghadirinya.

Pada masa sama, Azlan yang juga Adun Bintong tersebut dipecat keahliannya.

Perkara itu diumumkan oleh Shahidan yang mengadakan satu sidang akhbar khas di ibu negara bersama sembilan wakil rakyat daripada BN.

BN memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri apabila memenangi 10 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) di Perlis.

CATEGORIES