Tujuh MPKKP dicadangkan AMANAH Demak Laut diluluskan

Tujuh MPKKP  dicadangkan AMANAH Demak Laut diluluskan

Sebanyak  Tujuh Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP) yang dicadangkan AMANAH Demak Laut telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

Penyelaras MPKKP AMANAH Demak Laut, Mohamad Zen  Peli berkata, tujuh unit yang diluluskan itu adalah bagi fasa pertama yang didaftarkan sebelum ini.

Untuk fasa kedua, katanya, dijangkakan akan banyak lagi unit ditubuhkan selepas proses pendaftaran yang dilaksanakan oleh pihak KPLB nanti.

“Untuk makluman, kita telah menerima kelulusan bagi tujuh unit di Dewan Undangan Negeri (Dun)Demak Laut seperti yang dicadangkan AMANAH Demak Laut bagi fasa pertama.

“Seterusnya untuk penubuhan unit dalam fasa kedua akan dimaklumkan kemudian dan dijangkakan banyak unit bakal diwujudkan di Demak Laut,” jelasnya semasa ditemui di pejabatnya di Kuching hati ini.

Mohamad Zen menegaskan, tujuh unit yang telah diluluskan ialah MPKKP Kampung Senari, Beradek dan Selipar Putus.

Empat lagi unit, ujarnya ialah di kawasan Tabuan Melayu iaitu MPKKP Kampung Tabuan Hilir, Tengah, Lot dan Tabuan Foochow.

“Setakat ini semua pengerusi dan ahli jawatankuasa telah diberitahu di kampung masing-masing dan proses terakhir ialah bagi mendapatkan watikah pelantikan daripada KPLB,” tegas beliau yang juga merupakan Timbalan Pengerusi AMANAH Demak Laut.

Sehubungan itu, beliau merakamkan terimakasih kepada kepimpinan AMANAH Sarawak yang telah bekerja keras dalam menjayakan penubuhan MPKKP di 13 kawasan Dun di negeri ini.

Beliau menambah, dengan wujudnya unit MPKKP di kampung-kampung di Dun Demak Laut akan memudahkan lagi gerak kerja dalam menyampaikan bantuan dan inisiatif daripada Kerajaan Persekutuan kepada penduduk dan masyarakat di kawasan mereka.

“Alhamdulilah…sebenarnya penduduk di Demak Laut sudah lama menunggu penubuhan unit MPKKP ini. Maka dengan adanya unit ini akan dapat membantu memberi penerangan berkaitan bantuan dan inisiatif yang disediakan oleh Kerajaan Pusat sebelum ini.

“Justeru, saya berharap agar penduduk di kawasan Demak Laut akan dapat bersama-samamenikmati inisiatif-inisiatif seperti MySalam, PeKa40, iSuri dan banyak lagi yang telah disediakan kerajaan nanti,” kata beliau.