Malaysia Dateline

Tujuh peserta bantah lanjutan PKPD direman hingga esok

Tujuh individu termasuk aktivis masyarakat direman sehari selepas menyertai perhimpunan membantah lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Muhibbah Raya, Tawau petang semalam.

Majistret Nur Asyraf Bin Zolhani, membenarkan permohonan perintah reman oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau, pada 10.15 pagi.

Mereka direman sehingga esok bagi membantu siasatan masing-masing mengikut Seksyen 188 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 25 Ordinan Darurst 2021 dan Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman.

Kesemua individu terbabit  berusia antara 20-an hingga 40-an itu dilihat tiba di Mahkamah Majistret Tawau pada 9.05 pagi menaiki lori polis dengan memakai baju lokap berwarna ungu.

Turut kelihatan, sekumpulan pemuda dipercayai rakan aktivis terbabit berkumpul di luar mahkamah untuk memberi sokongan moral, lapor Harian Metro.

Sementara itu, peguam Raymond Guok Ker Rong yang mewakili semua tertuduh ketika ditemui media di luar mahkamah memberitahu pihaknya mengemukakan beberapa alasan untuk menolak perintah tahanan reman itu.

Beliau menegaskan kesemua anak guamnya tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri selain tidak dapat keluar daerah ekoran pelaksanaan PKP ketika ini.

Bahkan, ujarnya, adalah tidak masuk akal untuk menahan suspek di dalam lokap ketika berlakunya lonjakan kes Covid-19 di daerah tersebut yang akan meningkatkan risiko penyebaran penyakit di ruang terkurung.

Dalam hal berkaitan, Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH), Shazni Munir Mohd Ithnin membidas penahanan sekumpulan anak muda yang bersuara bagi pihak rakyat sebagai tindakan zalim yang jelas mencabuli hak kebebasan bersuara.

Tegasnya, kerajaan Perikatan Nasional (PN) mesti berhenti menggunakan hujah penguatkuasaan undang-undang memandangkan pembesar kerajaan sendiri sudah terlalu kerap melanggar prosedur operasi standard (SOP) dan undang-undang dengan sengaja dan terbuka.

Semalam, semua individu terbabit ditahan polis kerana didakwa melanggar SOP yang ditetapkan dalam usaha mengekang penularan Covid-19.

Mereka membantah lanjutan tempoh PKPD hingga 8 Mei depan di Kampung Muhibbah Raya kerana menjejaskan kehidupan kebanyakan penduduk tempatan yang bergantung kepada gaji harian.