Malaysia Dateline

Tujuh soalan mesti dijawab siasatan isu suntikan vaksin kurang dos

Menteri Kesihatan serta semua yang terlibat dalam kontroversi pemberian vaksin AstraZeneca pada dos kurang daripada sepatutnya wajib dipanggil untuk memberi penjelasan.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil menegaskan siasatan dalaman berhubung dakwaan pemberian dos vaksin AstraZeneca terkurang sebanyak 0.5 mililiter (ml) masih tidak memadai.

Beliau berkata, siasatan tersebut mesti bersifat bebas dengan barisan pakar dari luar serta rentas parti untuk memastikan tidak berlaku sebarang perkara untuk mengelak pertanggungjawaban.

Terdahulu, Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) dilaporkan sedang menyiasat secara terperinci dakwaan pemberian dos vaksin yang terkurang itu di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), yang mula heboh diperkatakan sejak 20 Mei lalu.

Oleh sebab itu, Fahmi berpendapat siasatan berkenaan boleh dilakukan dengan mengaktifkan kembali dengan serta-merta Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara walaupun Parlimen belum bersidang.

“Jika tidak pun, sebaiknya siasatan tidak dilakukan oleh atau melibatkan mereka yang terlibat secara terus dalam program pemberian vaksin AstraZeneca,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, laporan hasil siasatan itu perlu diumumkan agar rakyat terutama pembayar cukai yang membolehkan pembelian serta pemberian vaksin berlaku dapat memahami apa yang telah terjadi serta cara terbaik untuk mengelak daripada berulang.

Dalam masa sama, wakil rakyat dari PKR itu menegaskan siasatan bebas tersebut mesti dapat menjawab tujuh soalan berikut:

1. Berapakah jumlah penerima vaksin yang telah terkesan akibat pemberian dos yang kurang ini?

2. Berapakah jumlah penyuntik yang telah memberi dos AstraZeneca yang salah?

3. Mengapakah penyuntik-penyuntik ini telah memberikan dos AstraZeneca yang salah?

4. Apakah yang telah dan akan dilakukan oleh pihak bertanggungjawab untuk mengenalpasti serta menghubungi semua penerima vaksin yang telah diberi dos AstraZeneca yang salah?

5. Berapa ramai yang telah diberi dos tambahan untuk melengkapkan dos AstraZeneca?

6. Siapa yang akan dipertanggungjawab di atas kontroversi ini? Apakah tindakan yang akan dikenakan terhadap mereka?

7. Mengapa sehingga kini tiada permohonan maaf dari mana-mana pihak, terutama Menteri Kesihatan, kepada semua penerima vaksin AstraZeneca yang telah diberi dos salah?