Malaysia Dateline

‘Tujukan serangan kepada musuh sebenar bukan saling bertelagah’

Parti-parti pembangkang seharusnya fokus untuk menyerang Perikatan Nasional (PN) dengan sepakat berada di bawah gabungan besar (grand coalition).

Pengarah Komunikasi AMANAH Khalid Samad mengulangi pendirian itu ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dijangka boleh berlaku pada bila-bila masa.

“Kita kena bina kekuatan Pakatan Harapan (PH) Plus dan grand coalition, dapatkan semua parti pembangkang bekerjasama dengan satu suara.

“Jangan berpecah. Tujukan senjata serangan kita terhadap PN, Umno, Pas, Muhyiddin dan Azmin,” katanya menerusi Jom Channel sebentar tadi.

Mengupas tajuk “PRU-15: Tipu Helah Umno-BN”, Khalid menegaskan bahawa semua parti pembangkang perlu segera melakukan genjata senjata sesama sendiri.

“Bukan bertelagah sesama kita. Tun Dr Mahathir sendiri keluarkan kenyataan yang tidak perlu dikeluarkan. Penyokong Anwar pun keluarkan kenyataan yang tidak perlu kepada Tun Mahathir.

“Hentikan. Lebih baik kita serang PN, Umno, Pas, Muhyiddin dan Azmin kerana merekalah saingan dan lawan sebenar kita,” tegasnya.

Sehubungan itu, Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berkata, pembangkang harus membina kekuatan di peringkat akar umbi dan menjelaskan kepada rakyat mengapa dasar-dasar PN seperti ekonomi dan pendidikan perlu ditolak.

Menerusi slot Bicara YB Khalid Samad (Siri 91) itu juga, beliau memberi jaminan tiada wakil rakyat yang lompat parti pada PRU-15 nanti.

“Kali ini tidak ada katak, sudah dibersihkan,” kata bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu dalam slot dimoderatorkan Shaiful Roseman.

Khalid bersama Shaiful Roseman menerusi JOMchannel malam tadi.

Dalam masa sama, Khalid turut mengingatkan watak sebenar Umno dalam politik tanah air seperti yang telah lama diingatkan Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat

“Kami memang anggap Umno akan ketepikan kita apabila tidak perlukan kita. Umno sanggup lakukan apa saja termasuk tawarkan kerjasama dengan kita.

“Kita perlu balik kepada prinsip. Lupakan mainan Umno yang sebenarnya hanya umpan. Dia hanya guna umpan untuk peralat kita (pembangkang).

“Itulah Umno. Itu sebab kita perlu kenali musuh kita. Tidak perlu kita perlekehkan antara satu sama lain,” ujarnya.

Menyorot kembali keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 2018, beliau mengingatkan amat jelas semua parti menyumbang kepada kemenangan PH.

Mengulas situasi Pas dalam politik semasa, Khalid menyifatkan parti yang pernah dipimpinnya dahulu sudah dipermainkan Umno.

“Hakikatnya kita kena akui Pas ditipu oleh Umno. Mereka berada dalam kerjasama dengan prinsip-prinsip perjuangan Pas yang digadaikan.

“Pemimpin-pemimpin Pas berpuas hati asalkan tiada DAP, tiada Anwar,” tambahnya lagi.