Malaysia Dateline

Tukar cogan kata dalam surat urusan rasmi cadangan propaganda J-Kom ?

Penggantian frasa dalam semua urusan surat rasmi kerajaan yang ditukar kepada ‘Prihatin Rakyat: Darurat Memerangi Covid-19’ diselar sebagai satu frasa yang tuli dan buta dengan keluhan rakyat.

Sebelum ini urusan surat rasmi yang digunakan ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) adalah frasa ‘Saya Yang Menjalankan Amanah’.

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng tertanya, adakah frasa berkenaan sebenarnya dicadangkan oleh jabatan propaganda politik kerajaan yang dikenali sebagai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM).

“Apakah frasa baru ini cadangan yang datang daripada petugas barisan hadapan seperti pakar-pakar perubatan atau frasa ini hanya sebahagian daripada propaganda J-KOM?

“Banyak lagi pilihan frasa yang lebih sesuai boleh diguna pakai untuk menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam mendepani cabaran Covid-19.

“Pelitup Muka Memerangi Covid-19, Jarak Sosial Memerangi Covid-19, Kebersihan Kendiri Memerangi Covid-19 dan Vaksin Memerangi Covid-19 adalah antara pilihan yang lebih tepat untuk dijadikan cogan kata berbanding ‘Darurat Memerangi Covid-19’,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Lim berkata, frasa yang digunakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) menggambarkan seolah-olah tiada cara lain untuk melandaikan lekuk jangkitan wabak Covid-19 melainkan dengan mengisytiharkan darurat.

Walhal beliau katanya, perkara seperti pemberian vaksin berskala besar dan pemerkasaan SOP sepatutnya ditekankan apabila berhadapan dengan pandemik ini.

“Tambahan pula, kita lihat negara-negara lain berbelanja wang berbilion-bilion nilainya untuk membeli dos vaksin, dan mereka sudah pun memulakan program vaksinasi.

“Tidak dilupakan juga, angka jangkitan mereka lebih tinggi dan mereka tidak mengisytiharkan darurat untuk mengatasi masalah Covid-19,” katanya lagi