Malaysia Dateline

Tukar kerajaan belum tentu untungkan rakyat, kata pemimpin DAP

Ketua Pemuda DAP Johor, Sheikh ‘Umar Bagharib Ali berpendapat kerajaan pada hari ini dari segi undang-undang adalah sah tetapi moral adalah salah.

Walau bagaimanapun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh itu berkata, semua jentera kerajaan atau pembangkang perlu memberi tumpuan kepada kebajikan rakyat pada fasa pandemik Covid-19 ini.

“Sebab saya yakin, kalau kerajaan tukar sekali lagi sekalipun, belum tentu boleh menguntungkan rakyat.

“Rakyat masih sengsara dengan situasi pada hari ini, pandemik, ekonomi dan sebagainya,” katanya dalam temu bual dengan Utusan Malaysia.

Sehubungan itu, bekas anggota lembaga pemegang amanah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) tersebut menegaskan wakil rakyat pembangkang perlu diberi hak sewajarnya seperti telah dibuktikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

“Kerajaan negeri dan Pusat harus memberikan layanan seadilnya kepada mana-mana wakil rakyat tidak kira kerajaan atau pembangkang. Saya ingat, zaman wakil rakyat pembangkang tiada peruntukan.

“Selepas PRU-14 apabila PH ambil alih, kita berikan peruntukan walaupun kepada pembangkang. Ini amalan demokrasi matang.

“Walaupun kita pembangkang, tidak boleh dianaktirikan sebab kami dipilih oleh rakyat,” jelasnya ‘Umar lagi.