Malaysia Dateline

Tukar kerajaan, elak hidup dalam keadaan semua palsu, kata Lim Kit Siang

Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang berkata, rakyat Malaysia kini hidup dalam era semua perkara palsu.

“Berita palsu, jawatankuasa menangani berita palsu yang palsu, pilihan raya palsu, patriotisme palsu, malah ikrar dan sumpah juga palsu,” tulis beliau dalam blognya.

Kata beliau, dalam keadaan pilihan raya umum ke-14 semakin hampir, Malaysia dibanjiri berita palsu, yang ditakrifkan sebagai jurnalisme kuning atau propaganda yang terdiri daripada penipuan.

Ia disebarkan melalui siaran media, sama ada bercetak atau di atas talian untuk menanam kebencian dan meracuni minda rakyat, katanya.

Kini kata beliau, terdapat pula cadangan untuk menubuhkan Jawatankuasa Palsu mengenai Berita Palsu oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Azalina Othman yang akan mempunyai wakil daripada Jabatan Peguam Negara, Polis dan Kementerian Multimedia dan Komunikasi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah memberi amaran bahawa mereka yang mencipta dan menyebarkan berita palsu akan dihukum atas kesalahan tersebut, kata Lim.

“Tetapi kumpulan-kumpulan hak asasi manusia serta badan bukan kerajaan (NGO) di Malaysia bimbang perkara ini akan semakin mengekang kebebasan bersuara melalui undang-undang yang bakal diperkenalkan bagi membanteras berita palsu.

Jelas beliau lagi, semua orang bersetuju bahawa berita palsu bertujuan untuk menyemai kebencian dan meracuni minda rakyat.

Tetapi berhubung Jawatankuasa Palsu Azalina mengenai Berita Palsu tersebut, mungkinkah ia berakhir menjadi senjata kerajaan Umno-BN, dengan kuasa dan instrumen baru, untuk menekan dan menangkap mereka yang tidak bersalah di negara ini? soal Ahli Parlimen Gelang Patah itu.

Justeru kata beliau lagi, perubahan mesti dilakukan pada Kerajaan Pusat di Putrajaya, untuk kali pertama dalam 61 tahun, bagi memulihkan institusi-institusi penting dalam negara supaya kembali bebas, tidak memihak, cekap dan profesional,” kata beliau.