Malaysia Dateline

Tukar Speaker atau bubarkan Parlimen, kata MP Pas

Pas memberikan amaran, jika Pakatan Harapan menggagalkan usaha untuk menukar Speaker Dewan Rakyat dan timbalannya hari ini, pembubaran Parlimen akan dilakukan.

AHMAD FADHLI SHAARI

Timbalan Ketua Pemuda Pas yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, inilah yang akan dilakukan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) jika usaha menukar Speaker dan timbalannya gagal.

Fadhli berkata demikian dalam siaran langsung menerusi facobook beliau dalam perjalanannya ke Dewan Rakyat pagi ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini dijadualkan membuat usul untuk menukar Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof dan timbalannya Nga Kor Meng.

Ia menjadi agenda kedua sidang Dewan Rakyat yang berlangsung hari ini.

Menurut Fadhli, PN tidak yakin samada usul yang akan dibawa itu berjaya atau tidak.

“Sejujurnya saya sendiri tidak boleh jangka ia boleh berjaya atau tidak. Peluang kejayaannya 50:50,” kata Fadli, “Bola terletak pada kaki Pakatan Harapan. Kalau mereka menolaknya dan ia gagal dilakukan bermakna Parlimen akan dibubarkan.

“Kalau mereka memilih untuk membubarkan Parlimen, mereka akan menggagalkan pemilihan Speaker Dewan Rakyat yang baru kali ini,” kata Fadhli sambil memandu keretanya ke Dewan Rakyat.

Semalam Ahli Parlimen PH mengadakan perhimpunan khas bagi membincang perancangan mereka menghadapi sidang Dewan Rakyat hari ini.

Bagi mereka, jika PH berjaya menolak usul yang dibawa oleh Muhyiddin ia sama tarafnya dengan berjayanya undi tidak percaya kepada beliau.

Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibarahim menegaskan berkali-kali, PH sepakat untuk mempertahankan Speaker dan timbalannya yang ada.

Umno dan Pas melalui Muafakat Nasional (MN) sentaiasa menekan Muhyiddin agar Parlimen dibubarkan untuk membolehkan pilihan raya umum diadakan segera.

Namun begitu, Muhyiddin teragak-agak untuk melakukannya kerana mengadakan pilihan raya umum sekarang bermakna membunuh partinya Bersatu.

Berikutan itu ada cadangan agar Muhyiddin kembali kepada Umno dan menjadi presiden parti itu.