Malaysia Dateline

Tulang ‘Niah Men’ akan dipamerkan di Muzium Sarawak

Sebanyak 122 serpihan rangka tulang dikenali ‘Niah Men” iaitu manusia purba berusia kira-kira 40,000 tahun yang berasal dari Tapak Arkeologi Taman Negara Gua Niah akan dipamerkan di Muzium Sarawak.

Pemangku Pengarah Muzium Sarawak, Tazudin Mohtar berkata, koleksi tulang berkenaan yang tiba di Kuching hari ini telah diseliakan oleh pensyarah Universiti Florida, Profesor Dr John Krigbaum dan dibantu oleh pihak Muzium Sarawak.

Katanya, jumlah keseluruhan adalah 122 serpihan tulang manusia iaitu 30 kotak telah tiba dan sudah pastinya koleksi tulang ini akan dipamerkan di Muzium Sarawak bagi tumpuan pengunjung.

“Tulang-tulang manusia ini telah diekskavasi dari gua tersebut sejak 1950-an hingga 1960-an sebelum dihantar ke Amerika Syarikat pada 1966.

“Sejak tempoh itu, tulang-tulang berkenaan ditempatkan di Universiti Nevada, Las Vegas sebelum dipindahkan ke Universiti Florida di Gainesville pada 2017 bagi tujuan penyelidikan,” ujar beliau.

Tambahnya lagi, keseluruhan rangka-rangka tulang tersebut dalam keadaan baik sekali gus merupakan nilai sejarah yang hebat di negeri ini.

“Kami amat bersyukur kerana kita masih mempunyai rangka tulang prasejarah ini dalam keadaan baik dan kembali ke Sarawak sebagai sesuatu nilai sejarah yang hebat untuk rakyat di negeri ini,” jelas Tazudin.