Malaysia Dateline

Ahli politik dalam jel muncul di ‘billboard’ ucap selamat tahun baru kepada pengundi

Sebuah papan iklan (billboard) di Thailand tular di media sosial apabila seorang ahli politik negara itu yang dipenjarakan, didapati muncul di billboard dengan ucapan Selamat Tahun Baru kepada pengundinya.

Gambar Ahli Parlimen Demokrat, Thepthai Senpong telah dipaparkan pada papan iklan dengan gambarnya disunting seolah berada di sebalik jeriji penjara.

Memetik laporan laman berita Thaiger kelmarin, gambar pada iklan tersebut sebenarnya disewa oleh adik bongsu Thepthai, Pongsin Senpong.

“Selamat Tahun Baharu 2023! Anda akan menyayangi saya jika mengenali siapa saya yang sebenar. Thepthai Senpong,” demikian mesej pada papan iklan tersebut.

Sumber Facebook

Penyokong keluarga Thepthai dan Senpong juga menyiarkan papan iklan itu di laman Facebook dengan puisi sebagai kapsyen.

“Walaupun menderita di dalam penjara, Thepthai tidak takut, dan dia masih mempunyai keazaman yang kuat untuk berkhidmat kepada orang ramai.

“Thepthai akan bersedia untuk berkhidmat kepada orang ramai di Nakhon Si Thammarat sejurus selepas keluar dari penjara,” tulis hantaran tersebut memetik laporan Agensi.

Thepthai dan saudara lelakinya, Manote Senpong yang juga Ahli Parlimen Demokrat didapati bersalah atas penipuan pilihan raya kerana membeli undi semasa pemilihan Datuk Bandar di Nakhon Si Thammarat pada 2014.

Mereka kemudian dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan dilarang menyertai sebarang aktiviti politik selama 10 tahun. Dua beradik itu dipenjara pada Julai lalu dan masih kekal di sana.

Keluarga itu terkenal di wilayah tersebut selepas memulakan kerjaya politik dan popular dalam kalangan pengundi.

Baca juga: Anwar umum senarai 27 Timbalan Menteri – Saiz kurang berbanding era Ismail Sabri, Muhyiddin

Baca juga: Saham Tesla turun lepas beli Twitter, Elon Musk hampir hilang gelaran individu terkaya dunia

Sesetengah netizen mendapati ia lucu, ada yang mengatakan bahawa papan iklan itu kreatif, manakala penyokong Thepthai berkata mereka tidak sabar untuk melihat ahli politik itu kembali apabila dia keluar dari penjara