Malaysia Dateline

Tular ban pecah di Pasir Mas akibat banjir, penduduk diberi amaran berjaga-jaga

Susulan banjir besar di Pantai Timur, tular rakaman video berdurasi 25 saat menyaksikan sebuah benteng di Pasir Mas pecah sehingga arus deras mula memasuki ke kawasan sekitar penduduk.

Menerusi perkongsian penduduk di Kampung Tersang, ban pecah itu telah menyebabkan air banjir melanda ke jajahan Tumpat malam tadi.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan, Kamal Mustapha, mengesahkan perkara tersebut dan menjangkakan banjir yang lebih teruk akan berlaku di sekitar kawasan terbabit.

Beliau mengeluarkan amaran kepada semua penduduk di sekitar Pasir Mas dan Tumpat untuk berwaspada susulan sebahagian benteng membabitkan projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok di Kampung Tersang pecah susulan arus deras akibat banjir,

“Benteng berkenaan dibina pada 2018 dengan panjang hampir 20km di kawasan berkenaan dan pernah dibaik pulih sebelum ini kerana retak akibat banjir juga.

“Pihak kami telah menerima laporan itu pada 5 petang semalam dan pihak kami tidak dapat membaik pulih lagi kerana arus deras dan jalan perhubungan telah putus,” katanya seperti dipetik Bernama.

Kamal berharap penduduk yang berada di kawasan sekitar bersedia untuk berpindah bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini berlaku.

Arus deras menyebabkan sebahagian benteng di projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Golok pecah. (Gambar Facebook)