Malaysia Dateline

Steven Sim

Tular berita palsu, alih perhatian kepincangan kerajaan PN, kata MP DAP

Pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan terutamanya DAP terus menjadi mangsa politik kotor sesetengah pihak, terbaharu telah tular bahawa anak Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng telah ditahan di Singapura.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim dalam satu kenyataan berkata, tujuan taktik jijik ini jelas untuk mengalih perhatian orang ramai daripada kepincangan dan ketidakstabilan kerajaan yang semakin ketara.

“Saya menyeru agar semua Rakyat Malaysia bersama-sama melindungi demokrasi kita, melawan kerajaan tanpa mandat, melawan politik fitnah dan melawan politik jahat,” katanya.

Katanya, dalam keadaan kerajaan Perikatan Nasional tidak mampu menangani gelombang kedua wabak Covid-19, ekonomi negara yang kian merundum dan kehilangan keyakinan Rakyat terhadap kerajaan yang tidak mempunyai mandat, Umno dan rakan-rakan mereka dalam Muafakat Nasional serta Barisan Nasional rancak menyebar fitnah, tuduhan liar dan berita palsu.

“Saya juga menyeru agar pihak Polis Diraja Malaysia mengambil tindakan undang-undang yang tegas terhadap penyebar berita palsu tersebut,” katanya.

Terdahulu, tular anak lelaki bekas menteri kewangan, Lim Guan Eng dilaporkan ditahan pihak Imigresen Singapura kerana cuba membawa wang sejumlah RM2 juta.

Bagaimanapun, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador telah menyangkalkan dakwaan tersebut seperti yang dilaporkan di Malaysiakini hari ini.

Ekoran laporan palsu itu, keluarga Lim juga akan menyaman pihak yang menyebarkan fitnah tersebut.