Belum lagi selesai kes khalwat bersama rakan artis, nama pelakon Ruhainies kembali menjadi topik perbincangan hangat di platform media sosial.
Mana tidaknya, pemilik nama sebenar Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas itu didakwa sudah mendirikan rumah tangga dengan lelaki yang masih tidak diketahui identitinya.
Khabar angin itu mula timbul susulan tersebarnya satu dokumen dipercayai berkaitan perniagaan milik Ruhainies yang berpangkalan luar negara iaitu di London, England.
Menerusi dokumen terbabit, pelakon sensasi itu didapati menggunakan gelaran ‘Mrs’ dalam urusan rasmi sekali gus memberikan bayangan statusnya sebagai isteri orang.
Namun, status syarikat dimiliki bersama seorang ahli perniagaan kelahiran Malaysia yang dikatakan merupakan bekas kekasih Ruhainies itu dinyatakan telah dibubarkan.
Tular di media sosial, dokumen perniagaan tersebut dimuat naik oleh pemilik akaun TikTok dikenali sebagai Mya Adriana namun tidak didedahkan sumber maklumat itu.
“Nama dia guna iaitu Mrs dan bukannya Miss. Gelaran Mrs hanya untuk orang yang sudah berkahwin,” kata seorang netizen meninggalkan komen di hantaran tersebut.
Dalam hantaran sama, pemilik TikTok tersebut turut berkongsi sekeping foto rumah dipercayai lokasi yang tertera di alamat perniagaan di dalam dokumen berkenaan.
Walau bagaimanapun, status pemilikan mahupun kaitan kediaman berkenaan dengan adik kepada pelakon, Nur Risteena Munim itu masih lagi tidak dapat dipastikan.
Terdahulu, Ruhainies dilaporkan ditangkap khalwat bersama rakan artis berstatus suami orang iaitu Aliff Aziz di kondominium mewah miliknya di Kuala Lumpur, bulan lalu.
Mengambil masa hampir tiga jam, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) terpaksa menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selepas mereka berdua enggan membuka pintu untuk pemeriksaan.
Ruhainies dan Aliff dikatakan mula akrab sejak terlibat dalam penggambaran drama yang sama walaupun sudah mengenali antara satu sama lain sejak 10 tahun lalu.
Isteri Aliff yang juga seorang pelakon iaitu Bella Astillah kemudian memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan pada 11 Mac lalu.
Baca juga: Taubat dah tak nak jejak Cameron Highlands, duduk dua hari je berhabis RM1.5K