Baru-baru ini tular satu rakaman memaparkan pelakon, Aprena Manrose yang mengenakan bandana putih ketika bermain badminton sekaligus memperlihatkan rambutnya.
Penularan gambar itu telah menimbulkan perbincangan hangat dalam kalangan pengguna media sosial tempatan yang tertanya-tanya sekiranya pelakon terbabit tidak lagi berhijab.
Mengulas isu mengenai dakwaan anaknya yang dikatakan tidak lagi berhijab itu, bekas penyanyi dangdut iaitu Iwan Syahman mengakui enggan masuk campur di dalam hal tersebut.
Hal ini berikutan Apreena sudah bergelar isteri dan Iwan akan menyerahkan perkara tersebut kepada menantunya ekoran anaknya kini terletak di bawah tanggungjawab suami, lapor Berita Harian.
“Saya faham setiap kali berlaku hal kurang enak membabitkan anak-anak, saya yang akan kena ‘tembak’ dahulu. Tetapi dalam hal ini, dia ada suami. Jadi, biarlah suami yang uruskan.
“Kerana Aprena di bawah tanggungjawabnya. Saya tidak mahu ikut masuk campur. Lainlah kalau dia sudah bercerai, saya tahulah hendak buat apa,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Namun pemilik nama sebenar Wan Syahman Wan Yunus itu mengakui tidak akan lepas tangan dan akan sentiasa memberi pesanan kepada anak-anak sebagai panduan menjalani kehidupan.
Iwan turut meluahkan rasa syukur kerana anak-anaknya bersedia untuk berubah ke arah lebih baik meskipun ada kalanya mereka gagal beristiqamah mungkin kerana imannya masih lemah.
“Apabila berita itu tersiar, saya tidak hubungi dia (Aprena). Tetapi kalau dia datang rumah, saya akan beri nasihat mengenai apa yang boleh dan tidak patut dibuat. Itu terpulang kepada dia sama ada hendak terima atau tidak.
“Tugas saya hanyalah untuk mengingatkan sahaja agar tidak tersasar. Rasulullah SAW datang ke dunia untuk mengingatkan sahaja kerana yang beri hidayah adalah Allah SWT dan perkara itu tidak boleh dipaksa.
“Tetapi saya bersyukur dan sentiasa berdoa supaya anak-anak dapat berubah walaupun ada ketika, mereka gagal istiqamah. Ini kerana iman mereka masih lemah dan usaha untuk menguatkannya tidak dibuat bersungguh-sungguh,” katanya.
Terdahulu, tular satu rakaman video menerusi hantaran yang dimuat naik di media sosial oleh pelakon, Uqasha Senrose yang juga sepupu Aprena dan beberapa rakan lain ketika berada di gelanggang badminton.
Dalam rakaman tersebut, Aprena dilihat menggayakan baju kemeja-T berlengan pendek dengan memakai bandana putih di kepala dipercayai tidak mengenakan tudung.
Baca juga: Cik Epal gesa LHDN siasat perniagaan pizza bekas suaminya