Malaysia Dateline

Tular gambar MB Kedah betulkan paip air di Kelantan

Bukan pujian tetapi kecaman diterima gara-gara aksi Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor dalam satu gambar yang dilihat sedang membetulkan paip air.

Sanusi dalam gambar itu sedang duduk manakala tiga individu lain berdiri sedang memerhati termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Anak Bukit, Datuk Ir Amiruddin Hamzah yang ketika itu berbaju merah.

“Denyut hati dan jiwa saya sentiasa bersama rakyat. Demi kesejahteraan negeri Kedah,” kata Sanusi.

Walau bagaimanapun, tangkap layar dalam sembang satu kumpulan WhatsApp mendedahkan reaksi Amiruddin yang juga bekas Timbalan Menteri Kewangan zaman kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Gambar masa banjir di Kelantan. Tengoklah siapa baju merah tu!” kata pemimpin Bersatu itu.

Ekoran itu, orang ramai mengecam Sanusi yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas Kedah apabila memuatnaik gambar tahun 2014 tetapi dengan kapsyen berkaitan rakyat di Kedah.