Malaysia Dateline

Tular gambar solat Subuh tepi lebuh raya

Gambar dua wanita bertelekung yang dilihat sedang mengerjakan solat di tepi lebuh raya sebenarnya dirakam pada waktu Subuh tadi.

Pengguna Facebook Asmawi Ahmad memberitahu, lokasi tersebut berhampiran Plaza Tol Gombak menuju ke Genting Sempah iaitu selepas parkir lori dekat deretan gerai lemang.

Gambar itu tular tanpa diketahui latar belakang situasi sehingga mengundang kritikan termasuk dakwaan mereka terbabit boleh melakukan solat jamak.

“Gambar ni orang tangkap Subuh pagi tadi. Saya ada di kawasan ini.

“Ada yang cakap Isyak, jadi tak payah menunjuk solat sebab boleh jamak. Korang tu yang memandai. Gambar ini masa pagilah,” kata Asmawi.

Ada juga yang berpendapat solat di tepi lebuh raya seperti dirakam dalam gambar itu berbahaya kerana berisiko tinggi mengundang kemalangan.

Mengulas kritikan itu, Asmawi berkata, ada ahli keluarga memantau keadaan sekitar ketika trafik sesak teruk dan pergerakan kenderaan perlahan.

“Jalan sesak jadi tiada kenderaan laju,” katanya lagi.

Rata-rata aliran trafik lebuh raya utama didapati perlahan berikutan orang ramai pulang ke kampung halaman sempena Hari Raya Aidiladha esok.