Malaysia Dateline

Tular kelulusan operasi pusat judi, MOF tampil nafi

Semua operator perjudian berlesen telah diarahkan untuk tutup operasi sehingga tarikh yang akan diberitahu kelak, kata Kementerian Kewangan (MOF).

Kementerian itu menafikan pihaknya mengeluarkan surat bertarikh 25 Jun lalu yang membenarkan pusat judi untuk kembali beroperasi hari ini.

MOF menerusi kenyataan dikeluarkan Pasukan Respons Pantas Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) itu juga menegaskan kandungan surat yang tular di aplikasi WhatsApp itu telah disunting pihak tertentu.

Pihak kementerian yang diterajui Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz itu juga memberitahu tiada sebarang kelulusan diberi kepada operator perjudian berlesen untuk beroperasi dalam tempoh Fasa Satu Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara.