Tular kitar semula: Senaraikan nama guru propembangkang di Jerteh

Tular kitar semula: Senaraikan nama guru propembangkang di Jerteh

Satu pesanan whatsapp ‘kitar semula’ yang memaparkan arahan pemimpin Wanita Umno di Dewan Undangan Negeri (Dun) Jerteh untuk menyenaraikan nama guru-guru yang menentang kerajaan kembali menjadi tular di media sosial.

Hal ini disahkan Ketua Wanita Umno Dun Jerteh Norasiah Abu Bakar kepada Malaysia Dateline hari ini.

Katanya, pesanan whatsapp itu sudahpun menjadi tular pada tahun lalu dan laporan polis sudahpun dibuat pada Januari 2016.

“Ia bukan cerita baru. Itu fitnah yang dibuat oleh seorang ahli NGO yang propembangkang di Jerteh.

“Memang Wanita Umno Dun Jerteh menerusi whatsapp meminta nama guru-guru, peniaga dan penduduk di kawasan bagi tujuan mengemaskini daftar pengundi di kawasan bagi tujuan kempen menghadapi pilihan raya umum akan datang.

“Kita tidak pun tulis seperti apa yang difitnahkan di dalam whatsapp tersebut,” ujarnya.

Whatsapp yang menjadi tular itu menyebut:”Mohon hntr senarai guru2 yg hentam kerajaan/pro pembangkang di Dun masing2 ke pjbt umno bhgian segera.”

Sebaliknya whatsapp itu telah disusun letak dengan menambah pernyataan:”Guru-guru musuh kami. Guru-guru yang sokong pembangkang sila keluar dari Malaysia. Jom kita musnahkan dan susahkan mereka.”

Norasiah yang juga Ahli Majlis Daerah Besut berkata, pesanan whatsapp tersebut kembali tersebar berkemungkinan penyokong parti pembangkang mahu menimbulkan suasana kurang sihat dikalangan penyokong kerajaan di Dun Jerteh ekoran suasana pilihan raya umum yang sudah semakin dekat.

“Whatsapp grup (Wanita Umno Dun Jerteh) itu memang wujud tetapi kami tidak menulis seperti mana yang disebarkan itu.

“Ayat itu semata-mata mahu memburukkan Umno-BN di Parlimen Besut ini.

“Kita Wanita Umno di Dun Jerteh tidak pernah berniat untuk memburuk-burukkan mana-mana guru yang menyokong pembangkang,’ ujarnya.

Bahkan katanya sekeping foto yang disebarkan bersama whatsapp itu juga adalah ahli wanita Jerteh yang beliau enggan dedahkan nama.

“Dia tu anak buah saya, sebab itulah kami buat laporan polis bila mengetahui tersebarnya fitnah tersebut,” terangnya.

TAGS