Malaysia Dateline

Tular rakaman Safarizal ditumbuk dahulu

Selepas insiden Angkatan Wanita AMANAH Nasional (AWAN) Teluk Intan yang mendakwa ditumbuk Safarizal Salleh, tular pula satu video memaparkan Ahli Jawatankuasa AMANAH Perak itu dilihat telah dikasari terlebih dahulu.

Menerusi video berdurasi 12 saat yang didedahkan portal Berita Perak, rakaman menunjukkan Safarizal ditumbuk seorang Wanita di hadapan pintu Dewan sebelum kekecohan berlaku.

Portal berkenaan melaporkan, individu yang mengasari Safarizal merupakan Naib Ketua AWAN Teluk Intan, Zulaiha Mohd Azam.

Video yang diperlahankan pergerakannnya itu juga menunjukkan Safarizal secara spontan telah mengangkat tangan bagi menepis tumbukan yang dibuat ke atasnya bagi mempertahankan diri.

Kejadian yang berlaku di pintu masuk bilik mesyuarat itu dikatakan bermula dengan provokasi daripada Zulaiha dan rakan-rakannya dengan bertindak mengganggu prosiding siasatan dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap salah seorang Ahli Jawatankuasa Aduan yang dilantik.

Terdahulu, Jawatankuasa Aduan AMANAH Nasional dilaporkan sedang menjalankan sesi soal jawab dengan beberapa ahli AWAN Teluk Intan bagi menyiasat kes penubuhan cawangan palsu di kawasan itu.

Zulaiha dikatakan antara pihak yang bertanggungjawab dalam menyediakan maklumat palsu berkenaan penubuhan cawangan AMANAH di Teluk Intan.

Untuk rekod, Zulaiha pernah dikaitkan dengan satu kes penipuan projek perumahan sekitar 2017.