Aksi seorang lelaki warga Pakistan yang melakukan ‘wheelie’ ketika menunggang motosikal di Jalan Kota Tinggi-Kluang tular di media sosial.
Difahamkan, lelaki warga Pakistan itu merupakan seorang pemotong rumput yang bekerja di Malaysia.
Namun video yang memaparkan lelaki berusia 22 tahun itu menunggang motosikal dalam keadaan berbahaya akhirnya dikesan pihak polis selepas mendapat perhatian orang ramai.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrain Mohd Noh berkata, pemuda berkenaan telah disaman kerana tiada lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan tiada perlindungan insuran.
“Satu kiriman video dari Facebook ‘Kluang paranormal research’ dikesan memaparkan seorang lelaki Pakistan menunggang sebuah motorsikal jenis SYM VF3i melakukan aksi ‘wheelie’ dengan mengangkat tayar hadapan motosikal.
“Anggota Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Kluang telah melakukan risikan dan berjaya menahan suspek di hadapan sebuah kedai di Taman Majupadu pada pukul 6.45 petang, semalam,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Bahrain lagi, motosikal yang digunakan suspek telah dirampas dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, iaitu memandu secara melulu dan membahayakan.
“Ujian saringan awal air kencing suspek didapati negatif. Suspek kini ditahan reman dibawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) selama empat hari bermula hari ini,” katanya.