Sejak semalam berlegar video sebuah parti politik Islam didakwa menganjurkan program perarakan dengan sekumpulan pemuda parti itu berarak sambil membawa replika senjata.
Perarakan tersebut telah menimbulkan kebimbangan dan kegelisahan ramai kerana ia dilihat sebagai cubaan mempamer keganasan.
Menurut siasatan polis Terengganu, kejadian tersebut didakwa berlaku pada 17 Februari lalu di sebuah kawasan resort di Setiu, di mana perarakan itu merupakan salah satu dari acara yang dipertandingkan iaitu reka cipta bertemakan pakaian, senjata dan warisan Islam.


Pengguna media sosial juga rata-rata keliru dengan motif anjuran program tersebut.
Ada yang membangkitkan kes tahun lalu di mana dua lelaki berpakaian ‘cosplay’ ditahan kerana menggayakan pakaian anime dengan set senjata tiruan antaranya pistol dan bom tangan tiruan.
Menurut mereka, program ini tidak wajar terlepas dari siasatan kerana telah menimbulkan kebimbangan awam.
perarakan seolah peperangan ini kata mereka tidak seharusnya ditonjolkan kerana Islam adalah agama yang cintakan kedamaian dan toleransi.
“Mereka semakin berani. Apa tujuan himpunan sebegini? Gimik apa sebenarnya ni? Nampak macam persediaan untuk “berperang” saja. Pak Menteri tolonglah ambil tindakan segera dan jangan lihat dan dok diam saja. Kami risau,” komen pengguna Twitter, Widya.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar turut mengeluarkan kenyataan menegah mana-mana pihak menganjurkan perarakan yang boleh menimbulkan salah faham atau ketidakharmonian antara kaum.
Beliau yang dimaklumkan mengenai perarakan Pemuda Pas di Terengganu yang mengenakan kostum pakaian ala tentera abad pertengahan di Eropah berkata, perarakan seperti itu amatlah tidak sesuai dianjurkan dalam masyarakat seperti di Malaysia.
“Pada hemat saya tindakan berarak dengan kaedah tersebut adalah tidak wajar dan boleh memberikan gambaran yang tidak baik kepada agama Islam dan negara. Adalah lebih baik penganjur menonjolkan nilai nilai Islam yang bersifat damai, mengajak kepada perpaduan dan kesejahteraan,” katanya dalam kenyataan.
Baca juga: Budak 8 tahun terima hadiah rantai bernilai RM12,878 masa Hari Valentine, ibu pulangkan balik semula