Tular video pekerja warga asing selamba sorokkan minyak masak, buat tak tahu bila ditegur

Oleh KIM SYAZIE

Satu klip video beredar di media sosial memaparkan seorang pekerja di sebuah kedai serbaneka yang didakwa menyorokkan minyak masak paket.

Dalam video dikongsi seorang pemuda, dia berkunjung ke sebuah kedai runcit yang terletak di Kuala Langat, Selangor.

Dia mendakwa pekerja di kedai berkenaan mengatakan mereka tiada bekalan minyak masakn paket.

Namun selepas itu dia mendapati bekalan itu sebenarnya diletakkan di stor belakang kedai.

“Orang ni jual, itu minyak ada dia kata tak ada. Banyak stok (minyak masak paket) ni dekat belakang.

“Apa ini orang. Ni hah banyak stok ni nampak? Semua simpan belakang,” kata individu tersebut sambil menerjah pekerja lelaki di ruang belakang kedai.

Tidak pasti lelaki itu adalah rakyat tempatan atau warga asing.

Dalam hantaran sama, staf kedai runcit tersebut dilihat mengangkat beberapa kotak minyak masak dan membawanya ke dalam but sebuah kereta dipercayai milik pelanggan lain.

Walaupun lelaki itu telah mengugut untuk menularkan video tersebut, pekerja berkenaan terus mengabaikannya.

“Tak ada niat nak aibkan sesiapa tapi ini hak rakyat Malaysia,” kata pemuda tersebut menerusi ruangan kapsyen perkongsian.

Sementara itu menjengah ke ruangan komen, ramai yang berang dengan tindakan berani pekerja terbabit selain menyarankan agar video tersebut dilapor ke KPDNHEP untuk diambil tindakan.

Baca juga: Wanita ajar cara senang tanam daun sup dekat rumah je, jimat duit!