Malaysia Dateline

Tular video penunggang motosikal larikan diri dari kereta peronda polis, rupanya ada kes dadah

Satu video tular di media sosial menunjukkan seorang penunggang motosikal lari dari dikejar sebuah kereta peronda polis.

Dalam rakaman berdurasi 17 saat, amat mengejutkan apabila lelaki berkenaan dilihat selamba membuat pusingan U di sebuah jalan secara berbahaya dan memecut di persimpangan jalan untuk melarikan diri.

Rupa-rupanya suspek berusia 30 tahun itu memiliki lima rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah serta masih dikehendaki polis, lapor Utusan Malaysia.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias, berkata kejadian yang tular di laman sosial itu berlaku kira-kira jam 11.30 pagi hingga 12 tengah hari.

Agus Salim berkata, polis juga merampas motosikal yang ditunggang suspek dan mendapati tiada sebarang rekod senarai hitam.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu menghalang tugas penjawat awam danSeksyen 42 ( 1 ) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara melulu serta Seksyen 15 ( 1 )( a ) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.