Tularlisme, demokrasi virtual dan politik di Malaysia

Tularan video rakaman adalah satu fenomena yang mudah tersebar bagaikan wabak penyakit. Dengan hanya menekan butang `send; di telefon pintar,  sipenyebar maklumat yang menularkannya ke sasaran media sosial yang kadang kala diragui kesahihannya.

Mereka yang telibat dalam fenomena video tular adalah tidak mengira bangsa, agama dan umur. Aplikasi media sosial yang popular seperti Facebook, Twitter, Instagram, YouTube, WhatsApp adalah wahana yang sering digunakan di negara ini yang menggalakkan fenomena ini merebak.

Sungguhpun isu tular banyak dilihat dari sudut negatif, namun ada juga sisi positif yang membawa kebaikan.  Pelbagai media sosial kini hanyalah alat yang boleh dimanfaatkan untuk kebaikan atau sebaliknya.

Dalam dunia politik penyebaran video rakaman yang ditularkan boleh membawa kepada perubahan besar dalam dunia politik. Antaranya penularan rakaman video ucapan bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di satu majlis tertutup Umno heboh diperkatakan, terutamanya kerana beliau mahu  pengarah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dipecat dan disiasat.

Video ucapan itu dimuatkan di Youtube oleh penulis blog yang juga bekas wartawan, Firdaus Abdullah. Video sepanjang kira-kira tujuh minit itu bagaimanapun hanya memuatkan sebahagian daripada ucapan Muhyiddin. Dalam video tersebut, Muhyiddin ditunjukkan berucap kepada pemimpin tertinggi Umno, termasuk para naib presiden.

Tularan video ini akhirnya telah membawa  kepada pemecatan Muhyiddin yang dibuat oleh Majlis Tertinggi (MT) UMNO, yang membawa kepada penubuhan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu). Pada masa yang sama MT UMNO membuat keputusan sebulat suara untuk memecat  Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan menggantung keahlian Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal.

Bayangkan episode tularan video Muhyiddin itu menjadi catatan sejarah dengan jatuhnya BN dan Umno dalam pilihan raya ke-14 dan membawa kepada kemenangan Bersatu di bawah Pakatan Harapan. Lihat betapa hebat tularan video di media sosial.

Kedua, tularan video asmara sejenis yang mendakwa melibatkan Menteri Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali telah menggugat seketika karier politik Azmin dan menggugatkan kestabilan PKR sehingga mendedahkan wujudnya dua kem dalam parti tersebut.

Ketiga, tularan video perbualan santai Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menjadi penyumbang kepada kekalahan Pakatan PH di PRK Tanjung Piai.

Lebih menambahkan pedasnya ialah apabila Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, penularan video itu memudahkan lagi kempen BN tanpa perlu memikirkan strategi sukar untuk menewaskan Pakatan Harapan (PH) pada PRK berkenaan.

Jika ketiga-tiga contoh tularan video di atas, pertama, mencetus revolusi rakyat (Bagi tularan video Muhyddin), kedua, pecahnya PKR kepada dua kem (Video kontroversi seks) dan Video perbualan MB Perak, maka tularan video di media sosial adalah senjata politik berkuasa dan berpengaruh.

Bahkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata isu video intim (video seks kontroversi) yang banyak diperkatakan kebelakangan ini adalah satu isu politik dan bukannya isu moral.

Justeru kata beliau, perkara itu  perlu ditangani secara politik.

“Ini bukan soal moral. Ini adalah masalah politik. Ia akan ditangani sebagai isu politik,” katanya dalam catatan terbaharu di blog beliau chedet.cc (23 Julai 2019).

Maka tujuan ketiga-tiga rakaman video yang ditularkan mempunyai agenda politik tersendiri.

Media sosial adalah ruang publika perdana yang menuangkan gagasan dan membangun realitinya (realiti jahat, baik atau palsu) yang tersendiri di mana orang awam akan menentukan persepsi mereka. Dalam hubungan ini penggunanya bebas melakukan interaksi dan melakukan kritikan serta sokongan.

Inilah yang berlaku dalam kes tularan video baru-baru ini bagaimana video perbualan Menteri Besar Perak,  Ahmad Faizal Azumu dilihat memberitahu penduduk mengenai kepayahannya menjaga kepentingan Melayu dan Islam kerana tidak sealiran dengan kehendak sekutunya dari DAP.

Ahmad Faizal yang juga Pengerusi Bersatu Perak, dalam rakaman berdurasi sekitar tiga minit itu dilihat bersama calon Pakatan Harapan untuk Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai, Karmaine Sardini sedang duduk bersantai dengan penduduk di kawasan Tanjung Piai, sambil menceritakan situasi yang sedang berlaku di negeri pimpinannya itu.

Pengerusi Bersatu Perak menegaskan video tular perbualannya bersama pengundi di Tanjung Piai Johor, berbual mengenai sebuah parti komponen  Pakatan Harapan (PH) baru-baru ini, telah dipetik di luar konteks sebenar.

Sesiapa yang menular video adalah mereka sengaja hendak memecah-belahkan penyatuan dalam PH, padahal ini adalah perjumpaan tertutup yang bukannya ceramah umum.

Video ini adalah rakaman perbualan tertutup yang lebih santai dan tidak sepatutunya ditularkan. Itulah hakikat dunia media sosial sekarang tiada yang peribadi, menjadi milik orang ramai.

Pendek kata, tularan ini tidak mengenal sesiapa, jika ada yang mencipta, dan ada pula yang jadi tukang sebar, ia menular bagaikan virus menyerang.

Dalam hubungan ini, tularan-tularan citra politik di aneka drama media sosial telah menciptakan situasi yang ”melampaui” realiti politik itu sendiri. Keberadaan video tularan di media sosial telah mempengaruhi budaya demokrasi  yang kini berubah wujud menjadi ”demokrasi virtual”, di mana tindakan virtual di media sosial telah mendominasi kesedaran awam.

Di dalamnya, komunikasi dan hubungan politik tidak lagi dibangun di ruang-ruang realiti nyata, tetapi di dalam model-model realiti maya yang naratifnya diulang di dunia nyata

Tularan video, visual dan berita media sosial sudah menjadi suatu bentuk tularisme, Bahaya tularimse ialah pengguna media sosial menjadi pemuja tularan dunia digital di mana segala tularan dianggap sebagai suatu banaliti.

Apa yang muncul ialah media yang disarati dengan kebejatan moral yang akhirnya membawa kepada kehambaran atau banaliti. Media sosial adalah pusat tular rakaman video politik yang diandaikan bercirikan negatif.

Apa yang dimaksudkan dengan banaliti di sini adalah suatu keadaan, di mana pelakuan kejahatan tidak lagi dirasakan sebagai kejahatan, tetapi sebagai sesuatu yang sudah biasa, sesuatu yang dianggap wajar. Perbuatan menularkan ketiga-tiga kes video di atas tidak dianggap sebagai sesuatu yang jahat, pemecah belah perpaduan atau penyatuan tetapi  dianggap sebagai sebuah bentuk “kejahatan yang wajar” demi politik kepartian sempit yang mengutamakan kepentingan individu atau kumpulan. Ini yang dinamakan sebagai `Tularisme’.

Kebebasan yang ditafsirkan tanpa batas akan menjadi persoalan serius pada senario politik di abad digital ini. Apa yang dibangunkan dalam perang politik virtual di media sosial adalah kempen politik hitam bukannya beradu gagasan politik cerdas dan idea-idea pembangunan bijaksana.

Fenomena tersebut sangat kontra-produktif dengan hakikat keberadaan media sosial itu sendiri. Tujuannya agar saling terhubung dan mempererat persahatan di antara pemilik akaun. Taksub kepada budaya tularisme dengan kandungan dan visual yang disebarkan penuh dengan mesej kebencian, fitnah, caci maki, dan beragam kandungan negatif lainnya maka justru media sosial dapat menjadikan penggunanya sebagai mahluk syaitan pula.

*Kolumnis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel)