Malaysia Dateline

Tulisan jawi: Dong Zong dinasihat lebih rasional, bawa agenda kemakmuran bersama dalam pendidikan

Pemuda AMANAH Nasional hari ini membidas tindakan Persatuan Dong Jiao Zong yang akan mengadakan persidangan pertubuhan Cina pada 28 Disember ini, sebagai satu sikap yang kurang matang dan tidak patriorik.

Malah, persidangan yang diadakan untuk membantah pelajaran pengenalan kepada tulisan Jawi di Sekolah Vernakular itu, disifatkan sebagai paranoid melampau yang boleh mengundang rasa kurang senang pihak lain.

Ketuanya, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata, isu pengenalan tulisan Jawi seharusnya dilihat sebagai satu bentuk perluasan ilmu pengetahuan dan bukan sesuatu yang melunturkan identiti mana-mana kaum di negara ini.

“Dengan kelonggaran dan fleksibiliti yang telah diberikan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terhadap pembelajaran pengenalan tulisan jawi ini yang bersekali dengan pengurangan kandungan kepada hanya 3 muka surat, Dong Zong masih gagal menghargai sikap keterbukaan KPM dalam menangani isu ini.

“Untuk itu Pemuda AMANAH menyarankan agar persidangan tersebut ditukar kepada sesi penerangan dan perkongsian pendapat bagi menjelaskan keadaan dan kedudukan sebenar isu ini supaya ia juga dapat dinilai pada perspektif lain yang mungkin dapat mengubah tanggapan salah sebelum ini.

“Sekiranya persidangan ini diteruskan dengan hanya memberi fokus kepada bantahan semata-mata, ia akan menimbulkan salah faham dan keadaan ini juga berpotensi diheret kepada isu perkauman,” katanya kepada Malaysia dateline.

Justeru, Hasnul menasihatkan Dong Zong agar lebih rasional dalam menangani isu tersebht disamping meneruskan usaha mencari titik penyelesaian yang lebih harmoni untuk membawa agenda kemakmuran bersama dalam aspek pendidikan.