Malaysia Dateline

Tulisan khat: Armada Pulau Pinang desak Ramasamy letak jawatan Exco Pendidikan

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P.Ramasamy tidak seharusnya menjadi ‘api dalam sekam’ dan ‘gunting dalam lipatan’ terhadap hasrat murni Kementerian Pendidikan untuk memperkenalkan tulisan khat dalam subjek Bahasa Melayu Tahun 4 bermula 2020, kata Armada Bersatu Pulau Pinang.

Ketuanya Shameer Sulaiman turut mendesak Ramasamy supaya melepaskan jawatan beliau sebagai Exco Pendidikan Pulau Pinang setelah mengeluarkan kenyataan media yang diidakwanya, mempunyai niat untuk mengkritik kepimpinan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamed.

P. Ramasamy

“Tindakan Ramasamy membangkang usaha Kementerian Pendidikan jelas menyerlahkan kedangkalan beliau dalam memahami sejarah dan keistimewaan tulisan khat tersebut.

“Harus diketahui bahawa selaku Exco Pendidikan Pulau Pinang, beliau sendii gagal dan masih tidak menunjukkan sebarang inisiatif dan usaha bagi memartabatkan sejarah dan warisan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan kepada generasi muda dalam negeri ini.

“Sebaliknya beliau lebih cenderung untuk mempromosikan elemen-elemen rasis dan ekstremis yang tidak seharusnya ditonjolkan oleh seorang pemimpin, apatah lagi yang menggalas tanggungjawab portfolio pendidikan negeri Pulau Pinang, ” ujarnya.

Tegas Shameer lagi, tindakan-tindakan Ramasamy yang sering bersifat rasis dan ektremis jelas menyerlahkan bahawa portfolio pendidikan tidak langsung sesuai untuk dipikul oleh beliau kerana impaknya terhadap generasi muda jelas kearah yang lebih negatif.

Sehubungan itu katanya, Armada Pulau Pinang menggesa supaya Ramasamy melepaskan jawatan sebagai Exco Pendidikan Pulau Pinang dengan kadar segera dan memohon jasa baik Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk memberikan portfoilio tersebut kepada pemimpin yang benar-benar mempunyai hasrat untuk membangunkan agenda pendidikan negeri yang lebih holistik serta komprehensif.

“Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 secara jelas menyebut jawi merupakan tulisan bagi Bahasa Kebangsaan disamping tulisan rumi.

“Tulisan jawi turut dicetak di atas wang kertas dan syiling negara, jata negara serta jata negeri-negeri tertentu dan juga semua Dokumen Pemasyuran Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.

“Memang benar, Malaysia merupakan negara yang meraikan kepelbagaian kaum dan agama, namun begitu tidak seharusnya muncul pihak-pihak yang meletakkan kaligrafi bangsa lain setaraf dengan tulisan jawi kerana tulisan-tulisan tersebut telah pun dan sedang dipulihara serta diangkat di negara-negara asalnya, ” tambah Shameer lagi.

Justeru itu katanya, memulihara dan memartabatkan keagungan tulisan jawi hendaklah menjadi tanggungjawab segenap lapisan masyarakat.