Tulisan Khat: DAP akan sepakat buat pendirian bersama

Tulisan Khat: DAP akan sepakat buat pendirian bersama
Lim Guan Eng mempengerusikan mesyuarat berkaitan pelaksanaan tulisan jawi dalam mesyuarat partiu itu malam tadi.-Foto facebook LGE.

DAP akan membuat pendirian berhubung isu tulisan jawi dan khat secara sepakat dan berpasukan.

Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata, ia diputuskan dalam mesyuarat yang membabitkan semua wakil rakyatnya malam tadi.

“Perbincangan ini diadakan secara terbuka dan terus-terang. Yang penting ialah DAP mengambil pendirian bersama secara sepakat dan bukanlah seperti diuar-uarkan pihak tertentu.

“DAP akan menguruskan atau menangani perkara ini secara berpasukan kerana ada ura-ura kata DAP ada perpecahan, (tetapi) semua masih bersatu-padu.

“Kita telah mendengar banyak pandangan dan akan buat kenyataan secara rasmi kelak,” katanya kepada media selepas menghadiri mesyuarat parti itu berkaitan isu pelaksanaan khat jawi di sekolah vernakular di Ibu Pejabat DAP di sini malam tadi.

Mesyuarat itu berlangsung kira-kira empat jam dan dihadiri pemimpin-pemimpin tertinggi DAP Pusat dan negeri.

Terdahulu, Guan Eng dalam laman Facebooknya menulis, beliau mendapati timbul keresahan dalam kalangan masyarakat bukan Melayu susulan laporan sebuah akhbar berbahasa Cina mengenai pelaksanaan seni khat dan tulisan jawi sebagai sebahagian mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat termasuk di sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil.

“Walaupun seni khat atau Jawi adalah sumber kepada bahasa Bahasa Malaysia, laporan berita itu berjaya menimbulkan kebimbangan bahawa karakter dan identiti sekolah-sekolah Cina dan Tamil akan terjejas.

“Saya mendengar semua pandangan wakil rakyat parti, aktivis masyarakat dan saya juga telah bertemu Perdana Menteri serta Menteri Pendidikan hari ini (semalam),” katanya seperti dipetik Sinarharian online hari ini.