Tumbang 18 ekor lembu bukti masyarakat yakin dengan AMANAH

Tumbang 18 ekor lembu bukti masyarakat yakin dengan AMANAH

Orang ramai bersama dalam program anjuran parti Amanah Kawasan Pulai

Ibadah korban Parti AMANAH Negara (AMANAH) kawasan Pulai berlangsung dengan jayanya kali ini apabila menumbangkan 18 ekor lembu hasil daripada penyumbang di kawasan itu.

Memandangkan sebelum ini, majlis ibadah korban di kawasan itu hanya mampu menumbangkan sebanyak tiga ekor lembu sahaja.

Namun kali ini, Ketua AMANAH Kawasan Pulai Suhaizan Kaiat berkata, berlaku peningkatan ketara apabila pihaknya berjaya menyediakan sumbangan lembu korban sebanyak 18 ekor.

“Pada kali ini penyumbang lembu kepada parti Amanah terlalu memberangsangkan dan ia suatu perkara yang berbeza dari sebelum ini.

“Apatah lagi penglibatan anggota masyarakat yang sangat meriah. Sebelum ini program atau majlis sebegini hanya melibatkan dua hingga tiga tempat sahaja namun kali ini majlis ini berjaya dibuat dalam sepuluh tempat yang berbeza.

“Selain itu ikatan silaturrahim antara masyarakat dan ahli parti dapat dieratkan. Kami juga berbesar hati kerana selain ikatan silaturrahim, bantuan kepada fakir miskin juga dapat disalurkan melalui daging korban kali ini,” ujar beliau.

Ketika ditanya adakah faktor kemenangan Pakatan Harapan (PH) yang telah menyebabkan program semeriah itu dapat dijalankan, Suhaizan tidak menafikan faktor berkenaan sebagai dorongan.

“Bila kita menang, faktor ketakutan atau kerisauan masyarakat itu terhakis dan ia suatu yang menarik dalam program korban Amanah Pulai kali ini. Kita juga tidak membezakan masyarakat melalui latar belakang parti dan memang dari dulu pun begitu.

“Harapan untuk program kali ini adalah membantu fakir miskin yang sangat memerlukan selain ikatan silaturrahim yang terjalin dan juga menyediakan ruang kepada penyumbang,” jelas Suhaizan

Program ibadah korban yang berlangsung pada Hari Raya Aidiladha yang lalu dibuat di kedua-dua Dun di bawah parlimen Pulai dan ia turut dihadiri oleh Datuk Salahuddin Ayub pada sebelah tengahari.

5.0
OVERALL SCORE
1 user vote x 10.0
CATEGORIES