Malaysia Dateline

Tumbangkan kerajaan rapuh dalam PRU15, kukuhkan muafakat oposisi

Perikatan Nasional (PN) kekal sebagai kerajaan setelah belanjawan pertamanya diluluskan di Dewan Rakyat pada 15 Disember lalu iaitu dua hari sebelum Mesyuarat Ketiga, Penggal Ketiga Parlimen Keempat Belas (2020) ditangguhkan.

Belanjawan 2021 itu memperoleh sokongan majoriti ahli Parlimen. Ia diluluskan melalui undi belah bahagian selepas bacaan kali ketiga oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyaksikan 111 ahli Parlimen bersetuju, 108 tidak bersetuju, dan seorang tidak hadir.

Proses meluluskan belanjawan melalui ‘jalan yang berliku’, dan memperoleh undi dengan majoriti paling tipis dalam sejarah memang mencatat rekod kerana pertama kali berlaku. Kerajaan yang memerintah kekal berkuasa dengan kelebihan hanya tiga undi!

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memberikan pandangannya. Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga melontarkan pendapat beliau. Begitu juga dengan pemerhati/ penganalisis politik tanah air.

Bagi saya, walaupun kedengaran lucu, tetapi setidak-tidaknya Kerajaan PN mendapat gelaran baharu yang lebih enak disebut. Setelah sembilan bulan dipanggil sebagai ‘kerajaan tebuk atap’/pintu belakang’, kini ia boleh digelar ‘kerajaan majoriti tiga undi’ pula – kekal seiring dengan para pengkhianat yang mendukung kewujudannya sejak Mac lalu.

Mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad pun pernah berkata, tetap menang walaupun dengan kelebihan hanya satu undi – merujuk pergeserannya dengan Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) pada penghujung 1990-an. Kini, beliau berada dalam kelompok yang kalah tiga undi.

Menurut Muhyiddin (yang tentunya amat lega), sokongan ahli Parlimen terhadap Belanjawan 2021 membuktikan mereka menyedari kepentingan belanjawan itu untuk program rakyat, dengan keutamaan ialah memerangi Covid-19.

Katanya, belanjawan itu juga sangat penting kepada Kerajaan PN untuk meningkatkan taraf hidup rakyat, dan seluruh lapisan masyarakat, terutama golongan B40, M40, golongan rentan, dan mereka yang kurang bernasib baik.

Pendirian itu, tambah Muhyiddin, turut membuktikan ahli Parlimen (yang menyokong) menjunjung tinggi titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YdPA) yang mahu Belanjawan 2021 diluluskan tanpa gangguan, lebih-lebih lagi dalam keadaan negara sedang menghadapi wabak pandemik.

Walau bagaimanapun, sokongan itu masih boleh dipertikai kerana kekal menjadi ahli Parlimen kerajaan, apatah lagi menteri memberikan banyak keistimewaan. Menyokong Belanjawan 2021 sekali gus menyelamatkan kedudukan mereka. Bukan bersangka buruk, tetapi itu tidak mustahil.

Sebelum ini didakwa 10 ahli Parlimen Umno-BN menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri ke-9.

Menawarkan diri

Bagi saya, 111 yang menyokong tidak semestinya menyokong Muhyiddin dengan ikhlas. Mereka yang menyokong mungkin tidak peduli kerajaan stabil atau goyang (dalam jangka masa panjang atau singkat) asalkan kedudukan diri selamat. Tanpa undang-undang yang menyekat, mereka boleh melompat pula jika Kerajaan PN tumbang tiba-tiba.

Majoriti yang cukup tipis boleh mengakibatkan kedudukan Kerajaan PN, dan Muhyiddin digugat secara tiba-tiba. Banyak risiko apabila keadaan politik negara tidak stabil.

Dua hari sebelum bacaan kali ketiga Belanjawan 2021, khabar angin bertiup kencang bahawa 10 ahli Parlimen Umno-BN menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri ke-9. Walau bagaimanapun, 10 ahli Parlimen tersebut menafikan berita yang tersebar di media itu.

Begitu juga dengan khabar angin ada gerakan dari Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dan Dato’ Sri Mohd Najib Razak, bersama-sama Anwar menumbangkan kerajaan PN bukan lagi rahsia. Ia tersebar luas dalam kalangan pemerhati politik kedai kopi, malah tular di media sosial dengan pelbagai label diberikan terhadap kumpulan tersebut.

Pada 14 Disember lalu, Mahathir dan Ku Li ‘bergabung’ menawarkan diri untuk mengambil alih tampuk pentadbiran negara. Mereka malah menawarkan khidmat secara percuma asalkan PN ditumbangkan, dan Muhyiddin jatuh.

Bagi saya (mengulangi tanggapan tadi), sama ada ahli Parlimen Umno itu mengaku atau tidak, mungkin mereka tiada pendirian, tidak boleh diharapkan, dan lebih mementingkan diri. Kalau menteri atau pengerusi agensi, takut hilang jawatan; jika wakil rakyat kerajaan, bimbang hilang banyak kelebihan.

Memang kegagalan harus diterima sambil berpendapat/berharap tekanan ke atas Muhyiddin tidak akan terhenti. Pembangkang-PH pasti diharapkan akan terus mengasak PN, ‘kerajaan majoriti tiga undi’ ini.

Ketika Mahathir pasti terus mengatur strategi mencari jalan menumbangkan PN, Umno pula mungkin akan memberi tekanan kepada Muhyiddin jika keputusan ataupun tindakan beliau tidak memenuhi aspirasi mereka.

Kerajaan PN yang cukup rapuh ini meneruskan ketidaktentuan politik yang jika dibiarkan berterusan, akan menggugat ekonomi negara, dan memudaratkan rakyat.

Walaupun YdPA menasihatkan agar ahli politik ‘berehat’, tetapi kewujudan ‘kerajaan majoriti tiga undi’ Muhyiddin akan mencetuskan permainan politik yang tiada kesudahan, dan hanya merugikan rakyat.

Jalan terbaik ialah dengan menyerahkan semula mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan baharu.
Menyerahkan kembali mandat kepada rakyat bererti mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) meskipun tidak dalam masa terdekat ini kerana Covid-19 masih mengganas.

Bagi saya, jika penyokong PH sering mengatakan Kerajaan PN berkuasa kerana pilihan wakil rakyat, bukan rakyat, tentulah wajar juga mereka tidak senang kalau PH kembali berkuasa dengan cara serupa.

Oleh itu, mulai sekarang, para pemimpin PH perlulah bekerja keras untuk menghadapi PRU15 nanti. Eloklah PH menang dengan mutlak dalam pilihan raya umum itu.

Menurut Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, kelulusan Belanjawan 2021 tidak banyak menambah keyakinan terhadap Kerajaan PN kerana akan terus menghadapi masalah keyakinan.

Tegas Anwar, itu telah dibuktikan apabila PN hanya memperoleh tidak lebih daripada 112 sokongan. Tambah beliau, kerajaan lemah seperti PN akan terus tunduk kepada watak-watak rakus yang ada kepentingan, dan kebajikan rakyat akan terus dikorbankan.

Presiden PKR itu juga mendakwa Belanjawan 2021 mencerminkan betapa Kerajaan PN ‘hanya mengutamakan hayat politik mereka lebih daripada kebajikan, dan keterdesakan hidup rakyat.’

Anwar kecewa dan itu diakui oleh beliau sendiri kerana beberapa anggota Parlimen yang telah menyuarakan keraguan terhadap Belanjawan 2021, tetap mengundi menyokongnya.

Pemerhati/penganalisis politik mengingatkan, pada 23 September, Anwar mendakwa beliau telah memperoleh sokongan ahli Parlimen yang ‘kuat dan meyakinkan’.

Ramai yang kelihatan tidak yakin dengan dakwaan itu, memandangkan barisan PH sendiri berpecah, yang seterusnya menimbulkan spekulasi bahawa Anwar harus bergantung pada sokongan beberapa ahli Parlimen Umno jika dakwaan beliau benar.

Justeru, tumpuan orang ramai terhadap Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 ialah apakah Anwar akan menggunakan Parlimen sebagai pentas untuk akhirnya membuktikan sokongan yang dimilikinya, seperti yang dilakukan di Perak.

Terdapat ketegangan ketika Anwar, sebagai pemimpin PH, memerintahkan ahli Parlimen PH untuk tidak melakukan undi belah bahagi pada peringkat dasar, menyebabkan ramai ahli Parlimen dikecam.

Ketika undian peringkat jawatankuasa pula, beberapa anggota Parlimen PN tidak hadir, yang menimbulkan spekulasi kemungkinan mereka akan beralih sokongan.

Semasa Rang Undang-undang itu dibawa ke bacaan ketiga dan terakhir pada 15 Disember, 111 daripada 220 ahli Parlimen, atau 50.45 peratus menyokong. Di pihak PH, 108 anggota Parlimen membantah, yang merupakan jumlah undi tertinggi dimilikinya di sepanjang pembentangan Belanjawan 2021. Ku Li (Gua Musang-BN) tidak hadir semasa pengundian.

Kini, setelah Belanjawan PN berjaya melepasi undian, kredibiliti Anwar mula dipersoal kemungkinan akan menyebabkan PH mempertikai sama ada beliau masih layak memimpin barisan pembangkang atau tidak.

Setelah memerintahkan ahli Parlimen PH tidak menyokong undi belah bahagi pada peringkat awal, ahli Parlimen yang marah berhadapan dengan Anwar.

Dalam pertemuan itu, Anwar dikatakan secara sukarela menawarkan diri untuk berundur sebagai Ketua Pembangkang jika beliau gagal membuktikan majoriti.

Tarikh akhir untuk Anwar membuktikan majoriti tamat dua minggu lalu. Namun begitu, tidak jelas apakah tawaran meletakkan jawatan itu dianggap serius.

Mereka yang tidak mengetahui soal tawaran peletakan jawatan Anwar dalam pertemuan itu mengatakan bahawa beberapa ahli Parlimen telah berusaha meyakinkannya sebaliknya.

Jawatan Ketua Pembangkang dianggap penting, seperti yang dinyatakan dalam Aturan Mesyuarat 4A. Parlimen memberi pejabat dan kakitangan untuk Ketua Pembangkang, yang tugasnya ialah menyelaraskan pembangkang agar dapat menyediakan semak, dan imbang yang mencukupi.

Walaupun kebanyakan tidak menyangka Anwar akan berjaya membuktikan majoriti, dakwaan yang dibuat secara terbuka – masing-masing pada 23 September dan 13 Oktober – telah menimbulkan keraguan sama ada Anwar ada kredibiliti untuk memegang jawatan Ketua Pembangkang.

Anwar bersama anak-anak yatim di Rumah Titian Kaseh, Kuala Lumpur kelmarin.

‘Kena main’

Kegagalan Anwar membuktikan majoriti juga mungkin menyebabkan beliau dicabar sebagai Presiden PKR ketika pemilihan parti itu tahun depan.

Pada 2018, Anwar memenangi kerusi tersebut tanpa bertanding walaupun kubu lawan yang diketuai timbalannya ketika itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membolot sebahagian besar jawatan.

Sesiapa yang dilantik sebagai Presiden PKR berikutnya boleh mengawal blok kedua terbesar di bangku PH, dan akan diberi nama sebagai calon Perdana Menteri ketika PRU15.

PKR ketika ini ada beberapa calon pengganti berwibawa, seperti Naib Presiden, Nurul Izzah Anwar, dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Sokongan atau sebaliknya terhadap Anwar belum dapat dibuktikan. Berdasarkan pendapat saya tadi, jika ada sokongan, maka barangkali ahli Parlimen Umno itu ‘takut miskin’ hingga enggan bersama-sama Anwar. Itu bukan salah Anwar, tetapi beliau mungkin ‘kena main’.

Jika tiada sokongan, itu lebih wajar kerana rakan-rakan/pemimpin parti komponen PH seperti Mohamad Sabu (Presiden AMANAH), dan Lim Guan Eng (Setiausaha Agung DAP) memang tidak bersetuju bergabung dengan para pemimpin kleptokrat. Lebih baik tidak menjadi kerajaan jika perlu berkolaborasi dengan mereka semua!

Sesungguhnya, PH perlu menghentikan segala pertelingkahan, sebaliknya bersatu dan menyusun semula kekuatan untuk menghadapi PRU15.

Dalam kenyataan bersama pada 17 Disember lalu, Mohamad dan Guan Eng menegaskan PH perlu membuat satu ‘anjakan politik’ untuk menyatukan seluruh blok pembangkang.

Kini, kata mereka, masa untuk seluruh blok pembangkang bersatu demi membina kekuatan bersama yang ada atas landasan perjuangan bersama.

Bagi Mohamad dan Guan Eng, PH tidak perlu lagi sibuk cuba mendapatkan sokongan ahli Parlimen Kerajaan PN yang hanya ‘membazirkan tenaga mengejar bayang-bayang’, untuk menumbangkan Kerajaan PN.

Ahli-ahli Parlimen itu, tegas Mohamad dan Guan Eng, oportunis dan hanya memperalat PH demi kepentingan peribadi mereka agar memperoleh tawaran yang lebih lumayan.

Sebaliknya, masa dan sumber yang ada, kata mereka, patut digunakan untuk mengukuhkan perjuangan bersama-sama bagi rakyat atas dasar, seperti melawan rasuah, memajukan ekonomi, dan menegakkan keadilan sosial.

Ruang bernafas

Kemenangan Muhyiddin walaupun tipis akan memberi sedikit ruang untuk bernafas, sekurang-kurangnya bagi jangka masa terdekat. Ini kerana sebarang percubaan untuk menyingkirkannya, paling tidak pada tahun berikutnya, tidak lagi dapat dilakukan melalui Dewan Rakyat.

Parlimen tidak perlu bersidang hingga April 2021, dan ketika itu terjadi, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun telah menjelaskan bahawa beliau tidak akan membiarkan usul undi percaya Muhyiddin dibentangkan jika tanpa sokongan kerajaan.

Ini bermakna satu-satunya cara untuk mengalahkan Muhyiddin di Dewan Rakyat ialah melalui undi Belanjawan 2022, paling awal, pada Oktober 2021. Belanjawan tersebut dianggap sebagai undi keyakinan kerana kerajaan tidak akan dapat berfungsi jika peruntukannya dibantah.

Meskipun wajar PH menunggu PRU15 untuk kembali berkuasa mutlak, sebenarnya, pemerhati-penganalisis politik mengatakan Muhyiddin belum boleh menarik nafas lega.

Dengan hanya sokongan 111 ahli Parlimen, peralihan sokongan dua ahli Parlimen sahaja akan menumbangkan Kerajaan PN. Gerakan politik sedemikian perlu mempunyai SD, dan mampu meyakinkan YdPA. Ketika itu, PRU15 mungkin telah diadakan.

Muhyiddin telah menyatakan beliau merancang untuk segera mengadakan PRU15 setelah Covid-19 reda, dan rakyat Malaysia diharapkan akan diberi vaksin seawal Februari 2021.

Walaupun Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan partinya masih yakin Anwar ada kelebihan sokongan, tetapi kegagalan pada 15 Disember itu ada hikmahnya bagi PH. Dengan kekal menjadi kerajaan, PN perlu terus menghadapi wabak pandemik yang kelihatan entah bila akan berakhir.

Bagi penganalisis politik, Ahmad Lutfi Othman, persiapan pembangkang berdepan PRU15 nampak terganggu dengan pelbagai konflik dalaman. Harus ada penentuan agenda dan prioriti yang jelas.

“Masa berbaki tidak menyebelahi oposisi. Lihat saja PRU14, lebih dua tahun diperlukan untuk persediaan. Kita kesuntukan waktu untuk dibazirkan dengan isu-isu remeh-temeh.

“Idea grand coalition itu baik tetapi ditafsirkan dengan penuh syak-wasangka dan sarat prejudis. Dan teguran atau kritikan bukan untuk menyingkirkan sesiapa,” kata bekas ketua pengarang Harakah itu.