Tumpahan Diesel di Sungai Selangor disyaki khianat dan sabotaj

Tumpahan Diesel di Sungai Selangor disyaki khianat dan sabotaj

Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) mengesyaki pencemaran minyak diesel di Sungai Selangor berhampiran Kolam Hang Tuah disebabkan khianat serta sabotaj pihak tidak bertanggungjawab.

Pengurus Kanan Perhubungan Awam dan Hal Ehwal Korporat KSSB, Abdul Wahab Nordin berkata khianat tersebut sehingga menyebabkan henti tugas loji-loji rawatan air di sekitar kawasan Selangor dan Kuala Lumpur.

“KSSB ingin memaklumkan bahawa kami telah mengesan tumpahan minyak diesel di kawasan Sungai Selangor berhampiran Kolam Hang Tuah, pada 21 Julai 2019 pada kira-kira pukul 6.15 petang.

“Pasukan ERT kami telah dikerahkan dengan segera ke tapak kejadian dan punca tumpahan telah dikenal pasti dan dikawal.

“KSSB kini sedang menyiasat punca insiden dari semua sudut, termasuk kemungkinan berlakunya khianat serta sabotaj, dan akan memberikan maklumat tambahan pada masa yang akan datang,” katanya.

Beliau turut berkata, KSSB sedang memantau situasi dan berkerjasama dengan pihak berkuasa yang berkaitan.

“Situasi ini amat dikesali, namun kami ingin menegaskan bahawa perlindungan alam sekitar, sungai dan sumber air adalah keutamaan kami,” katanya.

Pada Jumaat lalu, 1,133 kawasan melibatkan 1,166,842 akaun pelanggan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor terjejas dengan gangguan air tidak berjadual susulan insiden pencemaran bau di sumber air mentah Sungai Selangor.

Penduduk di sekitar kawasan Kuala Lumpur dan Lembah Klang juga dikatakan berdepan gangguan bekalan air lebih awal, bukan bermula 23 Julai seperti yang dimaklumkan sebelum ini.