Tumpahan minyak di selatan Australia mungkin terburuk dalam sejarah

Tumpahan minyak di selatan Australia mungkin terburuk dalam sejarah

Tumpahan minyak di kawasan Great Australian Bight, teluk terbuka terkenal, boleh merebak ke pesisir pantai sebelah timur dan barat, benua itu.

Menurut dokumen perancangan syarikat cari gali minyak Norway, Equinor, andai berlaku tumpahan minyak yang buruk, ribuan kilometer pesisir pantai di kawasan itu akan terjejas.

Agensi Berita Xinhua yang memetik dokumen itu melaporkan, 10 gram minyak per meter persegi akan hanyut ke pesisir pantai Sydney di timur hingga ke Albany, kira-kira 400 kilometer ke selatan Perth, barat  Australia.

Tumpahan minyak itu akan meliputi sepenuhnya kawasan tepi laut Victoria dan Australia Selatan.

Bagaimanapun, Equinor Australia, menegaskan andaian terhadap kesan tumpahan minyak seburuk itu amat sukar terjadi meskipun berlaku tumpahan minyak sebenar.

Pengurus Equinor Australia, Jone Stangeland, berkata andaian berkenaan dibuat berdasarkan ramalan keadaan paling buruk, berasaskan 100 kali simulasi dalam pelbagai keadaan cuaca serta tanpa tindakan pantas bagi mengawal tumpahan itu.

Bagi Equinor, tiada sebarang tumpahan minyak boleh diterima dan tidak akan meneruskannya sehingga yakin cari gali dapat dilakukan dengan selamat.

Equinor memperoleh dua permit eksplorasi minyak daripada BP pada 2017 dan merupakan satu-satunya syarikat yang merancang menggerudi di rantau itu selepas Chevron menarik diri kerana harga minyak yang rendah.

Sebelum ini tumpahan minyak paling buruk dalam sejarah berlaku pada 2010 menyaksikan empat juta tong minyak merebak sehingga ke Teluk Mexico, hanya 20 peratus berjaya dikumpulkan semula.

— BERNAMA