Malaysia Dateline

Tumpu kawasan majoriti Melayu, seru Ketua Pemuda AMANAH Johor

Ketua Pemuda AMANAH Johor, Muhamad Taqiuddin Cheman mengajak ahli dan penyokong parti tersebut untuk memberi tumpuan kepada kawasan majoriti Melayu.

Menurutnya, wujud pelbagai fitnah yang membuatkan kaum majoriti di negara ini resah dan keliru tentang pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Beliau yang juga Adun Pulai Sebatang itu berkata demikian ketika membahas ucaptama Konvensyen Pemuda AMANAH Negeri Johor Kali ke-3 semalam.

Jelasnya, antara strategik yang perlu digunakan pemuda adalah dengan menampilkan diri atau ikon dalam kalangan masyarakat serta penerangan berfakta kepada rakyat.

“Kita akan berusaha melahirkan ikon-ikon anak muda di School Of Future Frontier (SOFF) yang pemuda akan jalankan.

“Di SOFF akan menjalankan latihan kepimpinan kepada anak muda berusia 18-35 tahun yang berpotensi untuk diketengahkan sebagai pemimpin muda parti yang akan dikelolakan oleh Biro Pembangunan kepimpinan Pemuda.

“AMANAH akan menempatkan ikon pemuda di posisi strategik di agensi kerajaan di kawasan majoriti Melayu untuk menjadi perantara kerajaan dan rakyat,” ucapnya.

Dalam pada itu, Taqiuddin turut meluahkan rasa resahnya berkenaan perpaduan yang mula digugat oleh segelintir pihak yang berkepentingan.

Selain itu, beliau menyatakan fitnah yang tersebar dengan agenda golongan berkepentingan itu kini mulai menggugat.

Sehubungan itu, beliau berharap Pemuda AMANAH di Johor memainkan peranan untuk menangkis semula segala tohmahan terbabit.

“Kita risau hari ini serangan berbentuk ‘mala fide’ yang bermotifkan politik ini tidak dibendung. Kita (Pemuda) perlu memanfaatkan segala peluang dan platform yang ada untuk menangkis fitnah.

“Hari ini, Komuniti Harapan di bawah Jabatan Penerangan bagi menjalankan tugas menyampaikan maklumat-maklumat yang sahih berkenaan aspirasi dan polisi kerajaan.

“Pemuda harus memanfaatkan sepenuhnya komuniti ini agar setidaknya mampu mengurangkan kerosakan yang telah dilakukan oleh fitnah dan berita palsu tersebut,” tegasnya lagi.

Konvensyen yang berlangsung di Signature Summit Hotel, Batu Pahat itu telah dirasmikan Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Mohd Sany Hamzan.