Tumpu kepada persiapan Andre ke Olimpik

Tumpu kepada persiapan Andre ke Olimpik

Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dinasihatkan supaya mengalihkan tumpuan mereka kepada membantu atlet lompat jauh, Andre Anura Anuar layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Bekas presiden KOM, Datuk Karim Ibrahim berkata atlet berusia 21 tahun yang memenangi pingat perak pada Sukan SEA Filipina 2019 selepas melakukan lompatan sejauh 8.02 meter untuk memecahkan rekod kebangsaan berusia 12 tahun itu, kini adalah harapan terbaik KOM untuk diketengahkan dalam Olimpik.

Karim berkata, pada masa ini KOM patut menumpukan kepada mereka yang terbaik, dengan Andre dan atlet lompat tinggi Lee Hup Wei serta Nauraj Singh Randhawa mengetuai barisan atlet untuk layak ke Tokyo.

“Andre menghasilkan satu kesan yang hebat dan beliau merupakan atlet Malaysia pertama yang melompat sejauh itu. Sebagai perbandingan, anda tidak boleh mempertikaikan atlet lain juga memenangi pingat emas…ya mereka memang menang emas, tetapi jauh daripada catatan terbaik mereka, tetapi Andre melakukannya dengan bergaya untuk muncul sebagai insan pertama dari negara ini yang melompat sejauh itu.

Beliau adalah antara terbaik di rantau ini dan kami perlu mengambil kira lompat jauh adalah sangat  teknikal. Dengan memberikan beliau kepakaran sains sukan, menghantar beliau menjalani latihan luar negara dan sokongan jurulatih asing, beliau boleh melangkah jauh,” kata Karim kepada Bernama.

Jarak kelayakan lompatan ditentukan oleh World Athletics (dahulunya dikenali sebagai Persekutuan Olahraga Antarabangsa IAF) untuk lompat jauh lelaki ialah 8.22m, dengan tempoh kelayakan berakhir pada 29 Jun.

Bagaimanapun, atlet-atlet juga berpeluang menempah tempat mereka menerusi sistem ranking baharu dunia dan kemasukan secara ‘wildcard’ jika tidak ada satu pun atlet layak menerusi merit dari negara masing-masing.

Namun, peluang terbaik untuk atlet dari Sabah ini menempah tiket ke Tokyo dengan mencapai jarak 8.22m itu atau secara wildcard kerana pada masa ini beliau berada di ranking ke-120 dunia dengan 1,112 mata, 339 mata di belakang pendahulu yang merupakan pemenang pingat gangsa Kejohanan Dunia,  Juan Miguel Echevarria dari Cuba.

Karim yang juga merupakan Ahli Majlis Persatuan Olahraga Asia (AAA) berkata:”Kini hanya seorang atlet dari sebuah negara boleh mendapat tiket wildcard, tiada lagi pada asas seorang atlet lelaki dan seorang atlet wanita.  Jadi KOM benar-benar perlu menghantar atlet terbaik mereka jika tiada seorang pun yang layak berdasarkan merit.”

Andre terpaksa berpuas hati dengan pingat perak Sukan SEA 2019 dimenanginya di Stadium Olahraga New Clark City dengan perbezaan yang begitu minimal, 0.01m, selepas atlet Indonesia  Sapwaturrahman merangkul emas dengan memecahkan rekod kejohanan menerusi lompatan sejauh 8.03m.

Rekod lompatan 7.87m sebelum ini dipegang atlet Filipina, Henry Dagmil, yang melakukannya di Sukan SEA Korat 2007, Thailand.

— BERNAMA