Malaysia Dateline

Tumpu masalah Bersatu: Apa khabar pembelajaran secara online?

Setelah diumumkan oleh Perdana Menteri pada 16 Mac 2020, bahawa Malaysia akan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) di seluruh negara bagi mengekang penularan wabak Covid-19. Gelombang Covid-19 ini memuncak kurang sebulan selepas Perikatan Nasional(PN) mengambil alih pemerintahan negara dari Pakatan Harapan (PH). Kebetulan semasa PKP ini mula dikuatkuasakan, sekolah di seluruh Malaysia sedang bercuti bagi separuh penggal pertama 2020. Hal ini menyebabkan isu pendidikan di peringkat sekolah menengah dan rendah tidak berbangkit.

Namun setelah cuti pertengahan penggal tamat seminggu kemudian, Kementerian Pendidikan Malaysia dihujani dengan persoalan bagaimanakah proses pendidikan anak-anak Malaysia akan dijalankan semasa PKP. Sepanjang PKP dilaksanakan, hanya sekali sahaja Menteri Pendidikan Malaysia iaitu YB Senator Dr. Radzi Jidin muncul secara rasmi untuk membuat pengumuman tentang hala tuju pendidikan negara semasa PKP. Pada sidang media Menteri KPM tersebut, beliau menjelaskan beberapa isu berbangkit tentang pelaksanaan peperiksaan awam termasuk proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara dalam talian (online) bagi seluruh sekolah di Malaysia. Selain itu, beliau hanya muncul di beberapa siri bual bicara saluran tv.

Malangnya, kemunculan Menteri KPM gagal menjelaskan pelbagai isu-isu yang berbangkit berkaitan sistem pendidikan negara. Sistem pendidikan negara semasa PKP ini dilihat masih kabur halatujunya akibat tiada sebarang perancangan strategik yang tuntas bagi memandu para pendidik menjalankan proses Pengajaran dan Pembelajaran(PdP). Guru-guru terpaksa menggunakan kreativiti sendiri untuk menghadapi kekangan yang berlaku untuk melaksanakan PdP semasa PKP.

Setelah hampir sebulan setengah PKP dikuatkuasakan, PM telah mengumumkan pembukaan beberapa sektor pentadbiran dan ekonomi bagi memulakan semula kegiatan ekonomi negara. PKP secara bersyarat atau PKPB gagal mendapat persetujuan beberapa kerajaan negeri kerana kes baru wabak Covid-19 masih berada paras dua angka. Kelonggaran yang diumumkan ini tidak melibatkan sekolah menengah dan rendah. Seiring dengan itu, pelaksanaan PdP secara dalam talian perlu diteruskan oleh semua warga pendidik.

Hakikat yang berlaku hari ini, peratusan penglibatan pelajar dalam PdP semakin berkurang. Semakin hari, penyertaan pelajar dalam proses ini semakin merosot. Kebanyakkan guru-guru di Malaysia mengalami masalah ini apabila hanya guru sahaja yang terlibat dalam PdP dalam talian, manakala pelajar membisu seribu bahasa tanpa sebarang maklumbalas. Benar, guru dibayar gaji untuk mendidik mengikut takwim akademik yang telah ditetapkan, namun apa ertinya proses PdP apabila guru mengajar tanpa penglibatan pelajar? Proses ini gagal dan tiada tindakan untuk membaiki situasi ini.

Pada padangan saya, ada beberapa faktor yang menyebabkan peratus penglibatan pelajar dalam PdP semakin merosot. Antaranya ialah apabila PKPB dikuatkuasakan, umum mengetahui beberapa sektor pentadbiran dan ekonomi kembali beroperasi. Hal ini menyebabkan, kebanyakkan ibubapa sudah mula bekerja. Hal ini berbeza semasa PKP fasa 1 dan 2 dulu, apabila ibu bapa berada di rumah bersama pelajar-pelajar. Ibu bapa maklum tentang PdP secara dalam talian ini dan mereka turut memainkan peranan dengan cara memantau anak-anak mereka sama ada terlibat atau tidak dalam proses ini. Kini setelah kebanyakkan ibu bapa mula bekerja, hanya ibu bapa yang telah memasukkan anak-anak mereka di sekolah swasta sahaja akan memantau PdP secara dalam talian kerana setiap bulan ibu bapa perlu membayar yuran pengajian, manakala bagi anak-anak yang bersekolah kerajaan, hanya ibu bapa yang komited pada pendidikan anak-anak mereka sahaja yang terus memantau, yang lain saya tidak rasa mereka mempunyai masa yang banyak untuk memantau anak mereka.

Kedua, akibat tempoh pelaksanaan PdP secara dalam talian begitu panjang, guru-guru sudah habis idea untuk mengolah kaedah pembelajaran secara konvensional kepada secara dalam talian. Tambahan pula, pelaksanaan PdP secara dalam talian secara mendadak menyebabkan guru-guru di Malaysia kurang mendapatkan latihan yang secukupnya untuk memimpin PdP secara dalam talian. Hal ini disebabkan, sebelum ini sistem pendidikan negara kita tertumpu hampir 90% kepada PdP secara konvensional. Amalan PdP secara dalam talian, jarang diamalkan sebelum ini, menyebabkan kreativiti guru-guru terhad. Hal ini menyebabkan ia gagal menarik minat pelajar-pelajar terlibat dalam PdP secara dalam talian dari hari ke hari.

Akhir sekali, ia bergantung terhadap kesedaran pelajar-pelajar itu sendiri untuk terlibat sama dalam PdP secara dalam talian. Situasi berbeza apabila kelas yang diajar itu dari kelas yang mempunyai pelajar-pelajar cemerlang akademik, pastinya kesedaran mereka untuk terlibat adalah tinggi, manakala jika kelas tersebut terdiri dari pelajar yang cemerlang dari sudut sukan atau kokurikulum, pastinya PdP secara dalam talian yang mengfokuskan kepada akademik gagal menarik pelajar ini untuk terlibat. Inilah antara tiga faktor yang menyebabkan kadar peratusan penglibatan pelajar dalam proses PdP secara dalam talian semakin berkurang.

Adalah menjadi tanggungjawab Menteri KPM bersama pasukannya yang mempunyai dua timbalan menteri untuk memastikan masalah ini ditangani secara berkesan. Adakah kita mahu membiarkan guru-guru sahaja terlibat dalam proses PdP secara dalam talian, manakala pelajar tidak didorong untuk terlibat sama. Adakah ini dinamakan sebagai proses pembelajaran apabila hanya guru sahaja menyampaikan ilmu tanpa penglibatan pelajar. Sebab kita melihat KPM hanya menyediakan slot pembelajaran melalui saluran TV Okey dengan satu hala sahaja. Jadualnya lengkap dan tersusun, namun adakah pelajar menontonya?

Menteri KPM yang berpangkat menteri kanan(mungkin ramai yang tidak sedar hal ini perlu memainkan peranan untuk mencari mekanisme yang terbaik untuk memastikan semua pelajar wajib menyertai proses PdP secara dalam talian. Apabila mekanisme itu wujud secara berautoriti melalui KPM, pasti pelajar menyertainya sama ada secara sukarela atau terpaksa. Hal ini membolehkan proses pembelajaran akan berjalan dan guru tidak hanya bertepuk sebelah tangan sahaja.

Melalui pasukan pembangunan kurikulum KPM yang terdiri dari pakar-pakar dalam bidang pendidikan, Menteri KPM boleh meminta agar pasukan ini mengubah kurikulum mengikut kesesuaian pasca Covid-19. Pengubahsuaian ini bukan secara keseluruhan dan mengubah struktur sukatan tersebut, namun hanya mengeluarkan aspek lama dan memasuki aspek baru bersesuaian dengan proses PdP secara dalam talian. Seterusnya mewujudkan pedagogi yang pelbagai untuk digunakan oleh para guru diseluruh Malaysia.

Kita percaya bahawa kewujudan KPM sejak negara merdeka dahulu bukan semata-mata untuk membina sistem pendidikan negara sahaja, namun seiring itu adalah Menteri KPM perlu memastikan semua pelajar terlibat dalam sistem pendidikan negara. Jika sistem pendidikan negara itu dibina dengan baik, namun kita gagal untuk memastikan pelajar terlibat, pastinya sistem ini gagal untuk membangunkan negara. Begitulah juga peranan Menteri KPM sendiri, idea YB Senator diperlukan dalam isu pendidkan apabila negara kita perlu mengamalkan ‘norma baharu’ pasca Covid-19.

Saya mencadangkan kepada YB Senator lebih memberikan tumpuan kepada hal ini berbanding muncul di media atas kapasiti sebagai Ketua Penerangan Bersatu. Saya tidak mendorong YB Senator untuk menjadi popular,namun hakikatnya YB Senator lebih popular semasa menjawat jawatan sebagai Timbalan Menteri Ekonomi dalam kerajaan PH berbanding sekarang. Sedangkan YB Senator antara menteri kanan, seharusnya lebih menonjol untuk menjelaskan halatuju pendidikan negara. Pastinya YB Senator akan menyahut peringatan PM agar tidak bermain politik semasa Covid-19 dan memberi tumpuan pada pembangunan negara.

Itulah pentingnya sesebuah kerajaan perlu mendapat mandat rakyat melalui pilihanraya sepertimana PH sebelum ini supaya tumpuan penuh kepada kementerian dan pembangunan negara dapat diberikan tumpuan tanpa asyik berpolemik politik sepertimana sekarang.

Akhirnya selain memulihkan ekonomi negara, pendidikan negara juga harus dipulihkan segera bagi memastikan kesinambungan pembangunan negara dapat diteruskan. Isu pendidikan ini tidak popular berbanding isu ekonomi dan kebajikan rakyat pasca Covid-19, namun saya terpanggil untuk membicarakan isu ini demi kelangsungan pendidikan negara. Jangan kita biarkan Covid-19 ini menggagalkan seluruh proses pendidikan anak-anak kita sepanjang tahun 2020 ini.

* Penulis adalah AJK Biro Komunikasi Pemuda AMANAH Selangor dan Naib Ketua Pemuda AMANAH Gombak.