Malaysia Dateline

Tumpu PdPR hanya pada subjek teras, kata AMANAH Sarawak

AMANAH Negeri Sarawak menggesa agar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) meneruskan fokus kepada subjek teras sahaja sepanjang Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Setiausaha AMANAH Sarawak, Fadillah Sabali berkata, bagaimanapun KPM harus menyelesaikan isu utama iaitu meluaskan akses pembelajaran menerusi saluran televisyen dan radio.

Ini kerana katanya, kebanyakan pelajar terutamanya di luar bandar dan pedalaman di Sarawak mempunyai masalah gajet dan rangkaian internet bagi mengikuti PdPR.

“AMANAH Sarawak menyokong cadangan kerajaan Negeri Sarawak agar sekolah terus ditutup untuk tempoh dua minggu lagi berikutan peningkatan kes akibat penularan jangkitan Covid-19 di sekolah melibatkan murid dan guru termasuk kakitangan.

“AMANAH Sarawak mencadangkan agar TV Sarawak dimanfaatkan untuk pendidikan anak-anak di negeri ini kerana pelaburan jutaan ringgit ini akan lebih bermakna dengan menyediakan bahan pendidikan yang dapat diikuti oleh para pelajar,”¬†katanya dalam satu kenyataan di Kuching hari ini.

Beliau menegaskan, bagi memastikan kelangsungan pendidikan anak-anak akibat penutupan sekolah, AMANAH Sarawak menyarankan kerajaan negeri dan KPM melaksanakan PdPR seperti yang telah diamalkan sebelum ini.

Malah katanya, KPM juga disyorkan untuk melaksanakan penggiliran murid yang hadir ke sekolah jika tidak mahu sekolah ditutup sepenuhnya selepas cuti penggal.

“Penggiliran akan mengurangkan jumlah pengumpulan murid di sekolah sekali gus membataskan interaksi sosial di sekolah,” tambahnya.

Ujar beliau lagi, penggiliran sesuai dilaksanakan jika capaian internet untuk akses PdPR kurang berkesan.

Bagaimanapun jelasnya, KPM mestilah menghadkan waktu murid di sekolah dan fokus kepada pengajaran dan pembelajaran subjek teras sahaja.

“Tempoh lebih singkat namun digunakan secara optimum akan membuahkan natijah yang jauh lebih baik berbanding sesi persekolahan seperti biasa yang diamalkan sekarang.

“Pendekatan alternatif ini adalah untuk memastikan kelangsungan pendidikan anak-anak Sarawak demi masa depan. Jika bukan sekarang, bilakah lagi kita akan bertindak?,” soalnya.