Ahli Dewan Negeri (Adun) Pulai Sebatang, Taqiuddin Cheman mengesa agar tumpuan pendidikan di daerah Pontian, Johor perlu diberi perhatian.
Beliau menyatakan hasrat supaya pembangunan pendidikan di wujud daerah itu berbanding daerah lain di negeri Johor yang punyai kelebihan dari segi institusi pendidikan.
“Saya mencadangkan agar Pontian perlu diberi perhatian dari segi pendidikan dengan mewujudkan universiti berkenaan dengan ekosistem laut.
“Sebelum ini Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani telah menyatakan Pontian akan dibangunkan menjadi pusat kerang-kerangan negara.
“Perkara ini penting untuk dewan menilai semula mewujudkan universiti sebagai tempat membina modal insan di negeri ini selain pembangunan materi,” ujar beliau dalam perbahasan di sidang dewan negeri semalam.
Selain itu, Taqiuddin juga mengajak agar pihak Kerajaan Negeri Johor untuk membangunkan Pontian sebagai pusat ekonomi yang mampan serta menjadi sumber kepada kerajaan.
Jelas beliau, pembangunan dari segi ekonomi masyarakat setempat juga perlu kerana hasil laut yang banyak di Pontian mampu menjadikan daerah berkenaan sebagai pusat ekonomi hasil laut.
“Selain pembangunan pendidikan, Pontian juga berpotensi untuk dijadikan sebagai pusat ekonomi untuk hasil laut.
“Pembangunan yang berstruktur harus dilaksanakan bagi menjadikan hasil laut seperti kerang dan kupang dapat menjana ekonomi rakyat setempat serta menjana pendapatan yang baik pada negeri.
“Saya turut bercadang agar kerajaan memikirkan bagi mewujudkan pusat penyelidikan serta pusat perdagangan hasil laut di negeri ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Taqiuddin juga menyarankan agar kerajaan negeri untuk membantu menyelesaikan permasalahan yang berbangkit bagi nelayan di sekitar Pontian.
Permasalahan seperti serang cacing kapang di jeti bot nelayan, projek penambakkan laut yang membuatkan sungai menjadi sempit adalah antara masalah yang masih belum diselesaikan sehingga kini.