Tumpu selesaikan masalah rakyat, ketepikan perbezaan, kata Hisham Fauzi

Tumpu selesaikan masalah rakyat, ketepikan perbezaan, kata Hisham Fauzi

Semua pimpinan dan ahli parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH) perlu mengenepikan perbezaan dalaman dan menumpu kepada usaha menyelesaikan masalah rakyat.

“Perselisihan dalaman akan hanya menggugat kestabilan kerajaan yang telah bersusah payah kita bina setelah kita berjaya mengalahkan Barisan Nasional,” kata ketua kawasan AMANAH Tanah Merah, Hisham Fauzi.

Beliau yang baru dipilih pada mesyuarat tahunan kawasan itu semalam berkata rakyat dengan penuh pengharapan telah memilih Pakatan Harapan selepas sengsara di bawah Barisan Nasional.

“Sebarang pertikaian yang tampak wujud di dalam kerajaan akan hanya mengundang kekecewaan rakyat kepada kerajaan hari ini,” ujar beliau ketika dihubungi selepas mesyuarat itu.

Menurutnya, walaupun sudah banyak yang telah dilakukan, tetapi kerja yang perlu kita lakukan juga ada terlalu banyak dan masa bukanlah kemewahan yang kita ada.

“Sedang kita bertungkus-lumus berusaha memperbaiki kedudukan negara, sudah tentu pembangkang tidak tinggal diam dan akan sedaya upaya mengganggu fokus kita dengan berbagai isu rasis dan agama,” katanya.

Hisham terpilih menjadi ketua selepas pemilihan tiga penjuru yang berlangsung sengit tetapi harmoni di dewan bangunan lama PPD Tanah Merah.

Beliau yang sebelum ini dikenali sebagai peguam yang terlibat di dalam penggubalan undang-undang hudud Kelantan telah terpilih menjadi Ketua Kawasan yang baru.

Mengulas berkaitan pemilihan itu beliau bersyukur proses pemilihan AMANAH Tanah Merah berjalan dengan penuh ukhuwah dan kemesraan.

“Saya ucapkan jutaan penghargaan kepada saf kepimpinan lama yang telah banyak berkorban untuk parti sebelum ini,” katanya.

Hisham sebelum ini adalah Bendahari AMANAH Kawasan Tanah Merah dan pernah bertanding di DUN Bukit Panau, Tanah Merah pada pilihanraya umum yang lepas akan tetapi tewas kepada penyandangnya.