Malaysia Dateline

Aiman Athirah Al Jundi

Tumpu tingkatkan nilai komersial industri hiburan tempatan

Masalah kebajikan yang membabitkan golongan artis perlu segera ditangani oleh kerajaan secara lebih menyeluruh.

Setiausaha Kehormat Majlis Senator Negara, Raj Munni Sabu berkata, masalah ini yang telah berlarutan sejak sekian lama sering mendapat liputan media tetapi sehingga sekarang belum ada satu inisiatif yang komprehensif.

Beliau mencadangkan supaya sebuah persatuan artis diperkasakan dengan mengambil kira kebajikan golongan ini di samping diberikan insentif yang lebih menarik dari kerajaan.

Wakil seniman Wan Aishah Wan Ariffin, Ito Blues Gang dan Helman Gimik mengadakan pertemuan dengan Majlis Senator Malaysia di Parlimen pada 9 Mei lalu

“Kerajaan perlu ada strategi untuk membantu menjaga kebajikan golongan artis. Masalah ini sudah lama diperkatakan. Memang ada usaha yang diambil tetapi masih belum berjaya menyelesaikan masalah.

“Selain daripada menyediakan insentif dalam bentuk kewangan, strategi yang lebih kreatif dan kritis juga perlu disusun supaya golongan artis boleh diberdayakan,” katanya.

Tambah beliau, bakat yang dimiliki perlu diasuh dan kembangkan dalam pelbagai bentuk untuk menjana pendapatan yang lebih lumayan untuk industri hiburan dan juga diri mereka.

“Ramai artis yang perlu dibantu supaya bangkit semula. Cuba lihat penyanyi seperti Shiela Hamzah yang popular di China. Beliau diminati ramai rakyat di sana.

“Tetapi apakah langkah kerajaan untuk memastikan pengaruh dan bakat beliau tidak tamat begitu sahaja? Jadi perkara ini perlu diberi perhatian,” katanya.

Raj Munni berkata, satu program jangka masa panjang untuk artis dan industri hiburan perlu dibentuk dengan lengkap yang mana berpotensi menjadi salah satu nilai tarikan pelancongan.

Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menggemparkan negara apabila mengumumkan hasrat kerajaan untuk menjemput kumpulan pop Korea, BTS membuat persembahan di Malaysia sempena Tahun Melawat Malaysia.

Banyak golongan artis menyatakan bantahan langkah itu kerana dilihat meminggirkan bakat-bakat tempatan yang masih berkualiti dan bertaraf antarabangsa.

Mengulas hal itu, Raj Munni yang juga Senator Dewan Negara menganggap Syed Saddiq tidak sepatutnya membuat pengumuman kerana tidak berkaitan dengan portfolio kementerian yang diketuainya.

Dalam pada itu, beliau juga berharap golongan artis tempatan supaya turut memanfaatkan Tahun Melawat Malaysia dengan menyediakan cadangan program hiburan yang boleh menjadi tarikan baharu pelancongan.

“Saya percaya kerajaan baharu sedia mendengar dan mengambil tindakan yang sepatutnya untuk membantu memeriahkan industri hiburan tempatan.

“Tetapi saya juga minta golongan artis sediakan cadangan yang sesuai dengan budaya tempatan yang boleh diangkat sebagai produk pelancongan yang mempunyai nilai komersial tinggi,” katanya.

Beliau menyatakan kesediaan untuk menjadi orang tengah kepada pihak artis dan kerajaan khususnya Kementerian Pelancongan bagi mengadakan perbincangan konstruktif yang lebih berkesan.

Hal ini kerana, tambahnya lagi, supaya semua pihak mendapat manfaat daripada perubahan pemerintahan.

“Saya telah bercakap dengan Menteri Pelancongan mengenai perkara ini dan Menteri memberi respon positif untuk menerima cadangan-cadangan yang bernas daripada sesiapa sahaja termasuk rakan-rakan karyawan seni muzik tanahair,” katanya.

Beliau ditemui selepas pertemuan antara Majlis Senator Malaysia dengan wakil-wakil seniman.

Turut hadir, Wan Aishah Wan Ariffin, Ito Blues Gang dan Helman Gimik di Parlimen pada 9 Mei lalu.