Tumpuan ekonomi di Johor Selatan makin pesat

Oleh MALAYSIADATELINE

Kepesatan ekonomi rakyat Johor hari ini banyak tertumpu di bahagian Johor Selatan yang membabitkan daerah Kulai hinggalah ke Pasir Gudang.

Menurut Exco Penerangan, Pembangunan Keusahawan, Koperasi dan Ekonomi Kreatif, Syeikh ‘Umar Ali berkata, perancangan untuk mengembangkan pengaruh ekonomi akan dilakukan Kerajaan Negeri Johor yang melibatkan Johor tengah dan utara.

“Pembangunan ekonomi harus dirancakkan dengan melibatkan usahawan-usahawan bukan sahaja dari Johor selatan malah kita akan kembang ke serata negeri ini.

“Kepesatan ekonomi di Johor kita dapat lihat hari ini hanya tertumpu di belah Johor selatan sahaja dan kami akan pastikan nikmat kepesatan itu dapat dirasai oleh mereka di tengah dan utara Johor,” ujar beliau.

yeikh ‘Umar Ali (duduk) sedang diberikan penerangan berkenaan dengan ekonomi digital.

Beliau ditemui pada Majlis Pelancaran Laman Web Program Usahawan Dinamik Iskandar Malaysia (IMProUD) di Johor Bahru, Syeikh ‘Umar turut mengajak seberapa ramai usahawan untuk menceburi bidang pendigitalan ekonomi.

Menurut Syeikh ‘Umar, dunia perniagaan hari ini banyak menumpukan kepada ekonomi digital yang menginginkan kemahiran dari segi bidang tersebut.

“Perniagaan hari ini cabarannya luas dengan pembabitan ekonomi digital yang mahukan kemahiran dari usahawan untuk mahir dalam bidang pendigitalan.

“Tumpuan kepada kaedah ekonomi digital perlu diperkasakan bagi meningkatkan kualiti perniagaan kita.

“Kepesatan pembabitan rakyat dalam bidang perniagaan akan menyemarak dan mencorakkan ekonomi negara pada masa akan datang,” tegas Syeikh ‘Umar dalam ucapannya.

Selain itu, Ahli Dewan Negeri (Adun) Paloh itu turut menasihatkan agar usahawan tidak hanya perlu bergantung kepada geran-geran usahawan daripada kerajaan negeri tapi mereka perlu turut melatih diri supaya mampu berdaya saing dan berdikari.