Tun Arifin, Norian Mai ketuai RCI Wang Kelian

Tun Arifin, Norian Mai ketuai RCI Wang Kelian
(dari kiri) Tun Ariffin Zakaria dan Tan Sri Norian Mai antara yang mengetuai RCI Wang Kelian.

Bekas Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria hari ini dilantik Pengerusi Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Mengenai Penemuan Kem Penempatan Sementara dan Kubur di Wang Kelian Perlis.

Kementerian Dalam Negeri dalam kenyataan berkata bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Norian Mai pula dilantik timbalan pengerusi suruhajaya itu yang turut dianggotai lima individu lain.

KDN telah mendapat perkenan Timbalan Yang di-Pertuan Agong pada 29 Jan 2019 untuk melantik anggota RCI, kata kenyataan itu.

Lima lagi anggota suruhanjaya itu ialah bekas Ketua Pendakwaan Jabatan Peguam Negara Datuk Noorbahri Baharuddin; Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) Tan Sri Razali Ismail dan bekas Ketua Penyelidik Jabatan Peguam Negara Datuk Junaidah Abdul Rahman.

Turut dilantik ialah bekas Duta Malaysia di Thailand Datuk Nazirah Hussin dan bekas Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Dr Tan Seng Giaw.

“Suruhanjaya itu ditubuhkan selaras dengan keputusan kerajaan pada 26 Okt 2018 agar siasatan kejadian kes pemerdagangan orang dilaksanakan dalam skop lebih meluas,” menurut kenyataan yang dikeluarkan pada Majlis Pelantikan Ahli Suruhanjaya Siasatan RCI di sini.

Kenyataan itu menyebut antara skop pelaksanaan RCI adalah menyiasat prosedur semasa dan selepas kejadian yang dilaksanakan pihak berkuasa dan menjalankan siasatan (inkuiri) terhadap pegawai-pegawai penyiasat, saksi atau individu yang difikirkan perlu.

Siasatan RCI akan mengambil masa selama enam bulan dan laporan siasatan akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, jelas kenyataan itu.